Berita

Masalah kemudahan hospital Sarawak akan selesai jika autonomi diberikan

Kurangnya kemudahan pesakit di Hospital Besar Sarawak mendorong DAP Sarawak mengambil inisiatif menyumbang 15 buah kerusi roda bagi meringankan beban pengunjung hospital yang memerlukan kemudahan itu.

Penyerahan dibuat oleh oleh Setiausaha Organisasi DAP Sarawak Violet Yong diiringi pembantu khas Pengerusi DAP Sarawak Dr Kelvin Yii kepada wakil hospital.

Menurut Violet yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pending, walaupun Hospital Besar Sarawak merupakan kemudahan kesihatan terbesar di wilayah itu, masih terdapat banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.

“Ini merupakan hospital terbesar di Sarawak, sepatutnya secara teknikal kemudahan dan keperluan rawatan adalah yang terbaik dan lengkap untuk kemudahan seluruh pesakit.

“Malangnya, sebagaimana kita maklum, kemudahan di sini masih kekurangan termasuk tempat meletak kenderaan dan banyak lif tidak berfungsi dengan baik sejak sekian lama termasuk kemudahan kerusi roda,” katanya dalam kenyataan.

Situasi kemudahan hospital yang kurang memuaskan itu katanya menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) kurang memberi tumpuan kepada keutamaan dan keperluan yang mendesak itu.

Violet menegaskan, hanya dengan mengembalikan autonomi kesihatan kepada Sarawak mampu menyelesaikan segala kekurangan yang dialami.

“Inilah yang telah dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam manifestonya.

“Sekiranya Pakatan membentuk kerajaan peringkat persekutuan, autonomi kesihatan Sarawak akan dikembalikan dan ditadbir oleh kerajaan wilayah. Ini termasuk menyelesaikan isu kekurangan doktor dan dana,” katanya lagi. –Roketkini.com