Berita

Jannie Lasimbang, pejuang wanita Kadazan tekad pertahan N19 Kapayan

Sungai Moyog Daerah Penampang menjadi saksi bangkitnya seorang pahlawan lagenda lebih tiga abad lalu. Semangat dan keberanian Monsopiad memerangi rompakan hasil pertanian dan penternakan masyarakatnya terus disebut-sebut sehingga ke hari ini.

Tidak aneh, Penampang juga telah melahirkan ramai pejuang dan pemimpin Kadazan yang dihormati termasuklah sosok pejuang wanita berani bernama Jannie Lasimbang.

Beliau yang kini berusia 54 tahun terkenal dengan kesungguhan dan kelantangannya memperjuangkan hak demokrasi, membela kepentingan Sabah dan kepentingan Orang Asal sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sebelum penglibatan aktif sebagai Ketua Wanita DAP Sabah dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) N19 Kapayan, Jannie telah memegang dan bergiat dalam pelbagai pertubuhan hak asasi manusia, kebudayaan dan badan-badan pemerkasaan wanita dan ekonomi Orang Asal.

Menurut Jannie, penglibatannya dalam bidang politik dilihat mampu memberi sumbangan yang lebih besar kepada masyarakat dan negara khususnya melibatkan dasar-dasar kerajaan, pendidikan dan ekonomi.

“Orang Sabah sudah menderita terlalu lama di bawah rejim BN. Kita masih bertahan kerana kita kuat. Itulah sebab mengapa kita sebagai rakyat Sabah harus bekerja bersama sekarang, untuk membawa perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14,” kata beliau.

Pada pilihan raya lalu, DUN N19 Kapayan menyaksikan kemenangan DAP dengan majoriti 7,287 undi melibatkan pertembungan empat parti iaitu Barisan Nasional, STAR dan SUPP.

Latar belakang pendidikan dan pertubuhan antarabangsa

Jadi mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St Joseph dan Sekolah Menengah St Michael, Penampang sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Teknikal Redbridge, United Kingdom (UK) dan Sarjana Muda Sains Perubatan Biokimia di Canterbury, University of Kent, United Kingdom.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pembangun Masyarakat di PACOS Trust (1987 – 2000), Setiausaha Agung Pakatan Orang Asal Asia (2000-2008), dan Ketua Sekretariat/Setiausaha Agung Jaringan Orang Asal SeMalaysia (2013 – 2016).

Beliau juga pernah menjadi Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dari 2010-2013, di mana beliau mengetuai jawatankuasa yang menjalankan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asal, dan bertanggungjawap dalam hak Orang Asal termasuk menjalankan latihan dan dialog untuk meningkatkan pengiktirafan Mahkamah Anak Negeri Sabah, pendidikan dan sistem ekonomi Orang Asal.

Penglibatannya dalam bidang kesukarelawanan menjadikannya amat memahami dan dekat dengan permasalahan rakyat dan kumpulan masyarakat yang tertindas.

Antara jawatan sukarela yang pernah dianggotai ialah  Chairperson-Rapporteur/Ahli, Mekanisme Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal (EMRIP) (2008 – 2014), Pengerusi bersama, TILCEPA, Suruhanjaya Dasar Alam Sekitar, Ekonomi & Sosial IUCN (2008 – 2010), dan Ahli Penasihat Pengurusan Sumber Alam, Inisiatif Serantau Orang Asal UNDP.

Semasa dalam PBB, beliau telah menghasilkan laporan bertema pendidikan, akses terhadap keadilan, warisan budaya, adat dan sebagainya.  

Terbitan utama yang beliau terlibat termasuk Red & Raw: Indigenous Peoples of Malaysia and the Law; Bridging the Gap: Indigenous Peoples and Natural Resource Management in Asia;Traditional Occupations of Indigenous and Tribal Peoples; Indigenous Peoples and Local Economic Development; and Trading for Gold: Indigenous Peoples and Traditional Economy.

Deklarasi Jannie sekiranya diberi mandat sebagai ADUN Kapayan

Infrastruktur & Budaya

Penggubalan undang-undang kecil dan dasar untuk melaksanakan “Kampung Visi Jannie” bagi 23 kampung yang terperangkap dalam DUN  Kepayan yang pesat membangun.

Undang-undang & dasar ini akan memastikan masyarakat Kadazan di sini dapat mengekalkan budaya dan adat melalui perancangan bandar dan pembangunan infrastruktur yang mesra alam danadat-budaya masyarakat setempat.Menjalankan pemetaan komuniti untukmengenal pasti sempadan kampung.

Ekonomi & Pembangunan

Memastikan pembangunan mampan untuk kawasan DUN Kapayan termasuk infrastruktur yang memenuhi keperluan rakyat serta mesra alam, perumahan mampu milik, industri kreatif dan sederhana, dan pengangkutan awam yang cekap.JKKK setiap kampung akan diberikan peruntukan tetap untuk penyelengaraan kemudahan asas. Membangunkan eko pelancongan budaya dan kesenian.

Pembangunan Wanita

Memulakan program Latihan dan kepimpinan Politik dan kepimpinan wanita untuk melahirkan pemimpin wanita masa masa depan, menggalakkan kemajuan wanita supaya berdaya saing dalam keusahawanan dan menangani kes-kes gangguan seksual.

Belia

Pusat latihan berbagai bidang kemahiran untuk keperluan belia kawasan DUN Kapayan.Memupuk pemikiran kreatif dan meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi. – Roketkini.com