Berita

Kenapa manifesto BN P. Pinang tak janji mansuh tol Jambatan?

Ada sesuatu yang tidak kena dengan Manifesto Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang.

Di sebalik cadangan Kerajaan Negeri untuk memansuhkan tol dan membina Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) bagi mengatasi kesesakan lalu lintas negeri itu, lain pula kehendak BN.

Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow dilaporkan mahu supaya projek pembinaan LRT cadangan Kerajaan HARAPAN Pulau Pinang dibiayai oleh kerajaan negeri supaya dibatalkan.

Sehubungan itu, Ketua Menteri sementara Lim Guan Eng menyeru agar calon-calon BN negeri itu supaya perlu memberi penjelasan kepada pengundi mengapa manifesto mereka tidak menyatakan hasrat untuk memansuhkan bayaran tol di jambatan Pulau Pinang begitu juga dengan cadangan pembinaan LRT.

“Manifesto BN Pulau Pinang hanya sekadar untuk ‘membalas dendam’ dengan membatalkan semua projek infrastruktur, seperti projek terowong bawah dasar laut dan pelan pengangkutan awam seperti LRT yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Pulau Pinang.

“Tanpa sebarang rancangan oleh BN untuk LRT atau projek pengangkutan awam, bagaimanakah BN akan menghalang rakyat Pulau Pinang daripada terus terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas?” soalnya dalam kenyataan.

Katanya, mana-mana parti yang tidak mempunyai hasrat untuk membina LRT atau sistem pengangkutan awam tidak layak untuk menjadi Kerajaan di Pulau Pinang.

Guan Eng berkata, LRT merupakan suatu bentuk pengangkutan awam penting untuk Pulau Pinang.

“Hanya melalui mandat di Putrajaya, kita boleh menghalang pendirian BN untuk mensabotaj projek LRT kita.

“Cadangan Pakatan bukan hanya mahukan LRT terhad di bahagian pulau, bahkan juga menghubungkan pulau ke Butterworth, Seberang Jaya, Bukit Mertajam dan Batu Kawan,” jelasnya. – Roketkini.com