Berita

SPR takut dengan gambar Mahathir, baik haramkan sahaja

Keputusan terkini Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengeluarkan peraturan baru beberapa hari sahaja sebelum penamaan calon, menimbulkan rasa tidak senang Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.

Lim Lip Eng, yang juga calon Parlimen Kepong dalam kenyataannya mempersoalkan peraturan aneh melarang gambar selain presiden atau timbalan presiden parti digunakan dalam bahan kempen.

“Tiga hari lagi penamaan calon, dua minggu sebelum hari mengundi, bahan kempen sudah dalam proses cetak dan hampir siap untuk digantung,” keluhnya terhadap arahan yang begitu aneh.

SPR dalam kenyataannya mengehadkan penggunaan gambar pemimpin utama parti politik dalam bahan kempen dengan hanya membenarkan dua orang pemimpin utama parti dipaparkan pada bahan kempen.

Jawatan selain daripada Presiden (atau setaraf dengannya) dan Timbalan Presiden (atau setaraf dengannya) parti adalah tidak dibenarkan.

“Saya melihat ini sebagai cubaan SPR melarang penggunaan gambar mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam bahan-bahan kempen.

“Tak perlulah SPR berbasa-basi dengan pelbagai larangan dan sekatan,” kata beliau sambil mencadangkan supaya SPR mengharamkan sahaja penggunaan gambar negarawan terbabit.

“SPR takut apa?” soalnya.

Tun Mahathir telah dinobatkan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan, menggantikan Datuk Seri Najib Razak.

Pun begitu, ada usaha daripada pihak-pihak tertentu untuk menggelapkan perkara tersebut daripada pengetahuan umum.

Ini di samping keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan, menggantung sementara pendaftaran Parti Pribumi Bersatu yang diterajui Mahathir, hanya beberapa hari sebelum Parlimen dibubarkan. – Roketkini.com