Berita

Putrajaya perlu dipulangkan semula kepada Tun M – Hannah Yeoh

Bercakap di hadapan kira-kira 5,000 hadirin malam tadi, bekas Speaker wanita pertama Malaysia Hannah Yeoh menyeru pengundi di Putrajaya mengembalikan kawasan parlimen itu kepada ‘jurubina’ asalnya iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seruan itu dibuat sebagai mengulas kempen Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak yang mahu supaya kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang bersempena nama bapanya  dikembalikan kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Najib Razak telah menyatakan dalam petikan akhbar menyeru pengundi Bandar Tun Razak  memulangkan kerusi itu kepada BN kerana itu nama bapa beliau.

“Tetapi pada malam ini saya menyeru semua penjawat awam, semua pengundi Putrajaya untuk memulangkan kerusi Parlimen Putrajaya kepada jurubina Putrajaya sendiri iaitu Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Terlebih dahulu calon Parlimen Segambut itu menyeru seluruh penjawat awam dan rakyat Malaysia supaya berani melakukan perubahan dengan keluar dari zon selesa.

“Saya minta penjawat awam di Putrajaya tinggalkan zon selesa. Jangan takut kepada BN. 10 tahun lalu semasa PRU11 dan PRU12 ramai penjawat awam (Selangor & Pulau Pinang) takut.

“Tapi bila berlaku perubahan, kebajikan mereka dijaga dengan baik. Hasil negeri dipulangkan – Bonus (dapat) tiga bulan (gaji). Banyak anugerah diberi seperti di Pulau Pinang. Kebajikan penjawat awam dijaga oleh (kerajaan) negeri,” katanya.

Keberanian oleh penjawat awam katanya amat penting sebagaimana yang ditunjukkan sendiri oleh guru sekolahnya Cikgu Raja Kamarulzaman pada PRU yang lalu.

Semangat yang ditonjolkan gurunya itu telah banyak membawa perubahan besar termasuk menjadi perintis Speaker wanita pertama di Malaysia setelah gabungan pembangkang memenangi Selangor dan Pulau Pinang.

“Beliau dihina oleh kawan-kawannya apabila berkempen untuk saya. Tetapi beliau berkata kepada saya jangan takut berkempen kerana beliau percaya kepada saya, ini satu contoh penjawat awam yang tidak takut melakukan perkara yang betul.

“Saya percaya kita ada ramai lagi penjawat awam seperti ini yang sudah tidak tahan dengan rasuah di Putrajaya.

“Saya percaya dengan dorongan ahli keluarga, penjawat awam akan keluar mengundi dan mengubah nasib Putrajaya dan Malaysia 9 Mei nanti!” katanya lagi.

Antara penceramah utama yang menjadi tumpuan malam tadi ialah Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Tun Dr Mahathir Mohamad – Roketkini.com

Foto: Hasful Zainuddin