Berita

Undi tentera, polis tidak lagi memihak kepada BN – Dr Ong Kian Ming

Anggota keselamatan polis dan tentera turut menolak Barisan Nasional (BN) dalam jumlah undi yang signifikan pada pilihan Raya Umum ke-14 kata Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP, Dr Ong Kian Ming.

Trend tersebut jelasnya dapat dilihat di empat kerusi parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan (HARAPAN) menerusi jumlah 10,000 pengundi awal yang kebanyakannya terdiri daripada anggota polis dan tentera.

Empat kawasan parlimen tersebut ialah Setiawangsa, Tangga Batu, Lumut dan Lembah Pantai.

“10,000 pengundi polis dipindahkan ke kerusi parlimen Lembah Pantai. Tanpa jumlah signifikan pengundi polis dan tentera yang menolak BN, HARAPAN tidak akan berpeluang menang di kawasan parlimen ini.

“Saya terperanjat apabila melihat keputusan ini. Saya tidak terkejut jika keputusan di kawasan-kawasan (pilihan raya) lain yang mempunyai pengundi pos dan pengundi awal juga menunjukkan jumlah yang signifikan di kalangan undi tentera dan polis tidak menyokong BN,” katanya lapor Malaysiadateline.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bangi turut mendedahkan pola pengundian di parlimennya apabila memperoleh 31.1 peratus undi pos manakala BN hanya mendapat 22.9 peratus dan calon PAS pula 36.1 peratus daripada 1,305 undi. – Roketkini.com