Berita

Chow Kon Yeow tekad teruskan kecemerlangan Pulau Pinang

Semangat muhibah yang ditunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow wajar dijadikan contoh perpaduan erat masyarakat majmuk negara ini.

Dalam foto yang dimuatnaik di laman Facebook, Kon Yeow bersama masyarakat India Muslim sedang mengisi bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai selepas merasmikan Bazar Ramadan Anjuran Liga Muslim Pulau Pinang Ke-26 di Lebuh Queen baru-baru ini.

Dalam ucapannya, beliau berharap kecemerlangan daripada kesinambungan 10 tahun pentadbiran Kerajaan HARAPAN dapat diteruskan.

“Di Pulau Pinang, kita bersyukur kerana tiada perubahan (politik) yang besar daripada kesinambungan kepimpinan 10 tahun lalu.

“Kita juga bersyukur kepada mantan Ketua Menteri (Lim Guan Eng), kerana menerusi kepimpinannya, dapat kita saksikan negeri Pulau Pinang yang baik dan semakin baik.

“Saya berharap landasan yang disediakan saudara Lim Guan Eng dapatlah saya dengan pasukan Kerajaan Negeri tambah baik apa yang sudah baik, apa yang tak baik kita mansuhkan atau kaji semula,” kata beliau lapor Buletin Mutiara.

Hadir sama, Pengerusi Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader dan Pengerusi Pengelola Bazar Ramadan Liga Muslim, Sahul Hameed Syed Muhamed.

Kon Yeow turut meluangkan masa melawat 32 gerai yang menjalankan perniagaan sempena bulan Ramadan di bazar tersebut.

Beliau sebelum itu sempat meluangkan masa mengedar bubur lambuk kepada penduduk setempat di Bangunan Anjuman Himayathul Islam, Lebuh Chulia. – Roketkini.com