Berita

HARAPAN Bukit Bintang diseru eratkan persaudaraan – Fong Kui Lun

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun menyeru seluruh komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) mengukuhkan perpaduan dan kerjasama untuk memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kemenangan HARAPAN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, kemenangan besar HARAPAN merupakan petunjuk jelas peralihan keyakinan rakyat kepada sebuah pasukan baru.

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun

“Di kesempatan ini saya ingin menyeru kepada seluruh komponen Pakatan Harapan; Amanah, PKR, PPBM dan DAP agar mengukuhkan kerjasama dan perpaduan kita.  

“Kita harus kukuhkan kerjasama dan perpaduan di kalangan kita supaya dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat. Ini yang rakyat mahukan,” ujar beliau.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP itu berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran DAP Bukit Bintang baru-baru ini.

Selain pimpinan dan wakil parti komponen HARAPAN, majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Dalam ucapannya, Mohamad mengingatkan agar seluruh jentera HARAPAN ‘belajar daripada Barisan Nasional’ yang tewas akibat ‘terlebih wang’.

“Belajarlah dari BN, mereka kalah sebab banyak duit. Bila (duit) banyak, jadi tak cukup. Yang dapat duit sikit (berbanding orang lain) dia iri hati, buat kerja pun (dia) tak semangat,” kata beliau. – Roketkini.com