Berita

Peniaga pasar TTDI berpakat, buat sumbangan ke Tabung Harapan

Demi membantu mengurangkan beban kewangan negara, Persatuan Kebajikan Penjaja dan Peniaga Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur berjaya mengumpul sebanyak RM12,350 untuk diserahkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Majlis serahan sumbangan telah diadakan secara sederhana pagi tadi di pasar tersebut dengan kehadiran Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh bagi menyempurnakan acara penerimaan replika cek daripada persatuan berkenaan.

Hannah ketika bercakap kepada media berkata, pelancaran Tabung Harapan dua minggu lalu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai di pelbagai peringkat.

“(Tabung) ini bukanlah permintaan daripada kerajaan tetapi daripada rakyat sendiri yang mahu beri sumbangan.

“Bagi pihak kerajaan, saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak persatuan dan mereka yang teah memberikan sumbangan. Kita berharap kerajaan tidak menyalah guna setiap sen daripada tabung ini,” katanya.

Terdahulu, Hannah dipelawa Ahli Jawatankuasa Persatuan mengadakan kunjungan dari gerai ke gerai bagi mengisi Tabung Harapan Malaysia.

Menurut pengerusi persatuan, Jenny Loo, 66, jumlah tersebut berjaya dikumpul selama 10 hari dengan sokongan daripada para peniaga dan pelanggan.

“Apabila kami mendengar mengenai hutang negara mencecah RM1 trilion, kami semua terkejut.

“Jadi kami buat inisiatif ini dan rasa amat terharu apabila menerima sumbangan daripada peniaga-peniaga kecil dan pelanggan di sini.

“Kami ingin tunjukkan kami sayangkan negara. Ini hanyalah sumbangan kecil kami buat negara!” kata peniaga sayur itu dengan nada terharu.

Penasihat persatuan, Shafia, 59, yang merupakan peniaga kelengkapan Haji dan Umrah di pasar itu berkata, sumbangan derma yang diberikan itu merupakan tanda rasa sayang kepada Malaysia.

“Kita tahu negara banyak hutang, jadi, kita buatlah apa yang boleh kita bantu demi masa depan anak cucu generasi akan datang,” katanya.

Bagi seorang peniaga sayur Steven Tan, beliau rasa gembira dapat turut sama membantu kerajaan menangani hutang negara.

“Jadi, kita buat sesuatu untuk sokong kerajaan. Kita semua adalah rakyat Malaysia!” katanya bersemangat. – Roketkini.com