Berita

Tiada sebab anak muda 18 tahun dinafikan hak mengundi

Peguam yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim kit Siang, Syahredzan Johan berpandangan, tidak ada sebab mengapa anak muda berusia 18 tahun dinafikan peluang terlibat dalam menentukan hala tuju negara melalui proses pengundian.

Jelasnya, individu yang mencapai usia tersebut adalah orang dewasa dewasa di sisi undang-undang dan tidak lagi dikira sebagai kanak-kanak serta boleh bekerja, berkahwin dan mendapatkan lesen memandu.

Justeru katanya, sudah tiba masa yang sesuai kerajaan melakukan pindaan terhadap Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur layak mengundi.

“Saya menyokong sebarang usaha pihak kerajaan persekutuan untuk melaksanakan perkara ini yang merupakan salah satu daripada janji dalam menifesto Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Parti-parti pembangkang juga harus menyokong apa-apa usul kerajaan untuk membuat pindaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Syahredzan berkata demikian sebagai menyokong cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Menurutnya, Malaysia telah ketinggalan berbanding negara-negara lain kerana hampir semua negara di dunia meletakkan umur 18 tahun sebagai umur layak mengundi, termasuklah negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia.

Menurut beliau, cadangan tersebut bukanlah perkara baru kerana pada tahun 1971, usul menurunkan umur pengundi kepada 18 tahun juga pernah dicadangkan oleh Lim Kit Siang pda ucapan penggulungannya di Parlimen. – Roketkini.com