Berita

Anthony Loke dilantik Ketua Parlimen DAP baru

Jawatankuasa Tertinggi Pusat telah memutuskan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai Ketua Parlimen DAP bagi penggal ke-14 Dewan Rakyat menggantikan tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Seremban yang juga memegang portfolio sebagai Menteri Pengangkutan itu dilantik memandangkan beliau merupakan salah seorang pemimpin kanan parti.

Dalam kenyataannya hari ini, Lim Kit Siang berkata, beliau akan menjadi penyokong kerajaan buat pertama kali sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka pada 1969.

“Jawatankuasa Tertinggi Pusat telah membuat keputusan bahawa Ketua Parlimen DAP penggal ke-14 ialah Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

“Saya akan menjadi penyokong kerajaan di Parlimen buat pertama kli sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka pada 1969,” katanya.

Beliau pada masa yang sama mengumumkan bahawa DAP akan memberi tumpuan kepada Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis sebagai negeri ‘barisan hadapan’ dalam pengukuhan perpaduan, keadilan, kebebasan dan demokrasi di Malaysia.

“Objektif Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis sebagai negeri ‘barisan hadapan’ ialah untuk memastikan agar empat negeri ini akan ditadbir oleh Pakatan Harapan seiring dengan kerajaan Pakatan Harapan peringkat Persekutuan,” katanya.

Usaha itu ujarnya akan dicapai melalui kerjasama erat dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan yang lain. – Roketkini.com