Wawancara

Mordi Bimol ada rancangan besar untuk Mas Gading

Terletak sekitar sempadan Kalimantan Barat Indonesia, kawasan majoriti Dayak di Parlimen Mas Gading dilanda gempa politik pada 9 Mei lalu.

Ia menyaksikan gergasi politik Barisan Nasional (BN) Datuk Anthony Nogeh Gumbek tewas di tangan anak muda berusia 33 tahun, Mordi Bimol mewakili DAP.

Sudah tentu, kejutan dengan majoriti selesa 3,024 menewaskan BN di kubu tradisi mereka memberi keyakinan baru bahawa  masyarakat luar bandar berjaya meloloskan diri dari cengkaman hegemoni ketakutan yang sering dimomokkan parti pemerintah terdahulu.

Kini, Mas Gading yang terkenal sebagai kawasan pertanian dan pelancongan berkeluasan kira-kira 884.4 kilometer persegi itu memiliki kemudi baru pemimpin muda berwawasan.

Ketika ditemui pada Majlis Angkat Sumpah Anggota Dewan Rakyat, Mordi segak bergaya berpakaian lounge suit bertali leher merah dengan ‘burang sumba’ di kepala diperbuat dari kulit kayu kebanggaan masyarakat Bidayuh.

“Saya ada rancangan untuk Mas Gading.”

Rancangan itu katanya bukan sekadar menaik taraf infrastruktur asas yang masih ketinggalan tetapi juga tertumpu kepada pembangunan sosial termasuk pendidikan politik kepada golongan belia, tegasnya.

Ada keyakinan pada nada wakil rakyat muda ini. Sepanjang penglibatan Mordi bersama DAP, beliau berpengalaman luas kerana banyak melibatkan diri secara aktif sebagai sukarelawan dan penggerak program-program Impian Malaysia.

Antara projek yang berjaya dilaksanakan ialah projek Rumah Gawai Kampung Serikin, penyediaan kemudahan asas paip graviti, pembangunan ekonomi kampung, penganjuran kem-kem membaca dan kem-kem kesihatan.

Melangkah masuk ke Mas Gading sememangnya bakal memberikan kelainan dengan pelbagai tarikan pelancongan antaranya ialah Tasik Biru, Gua Angin, Gua Pari-pari dan banyak lagi.

Bagi pelancong domestik mahupun dari Semenanjung, pasar Pekan Serikin yang terletak di sempadan Sarawak-Kalimantan itu sememangnya jadi tumpuan di setiap hujung minggu dan tersohor dengan aneka jenis makanan tempatan seperti kerepek sukun dan kuih tradisi  selain barangan kraf.

Kelebihan itu kata Mordi harus dimakmurkan lagi supaya limpahan ekonomi itu memberi manfaat kepada golongan muda dengan peluang pekerjaan yang selayaknya.

“Jadi saya sedang merancang sesuatu untuk mengadakan lebih banyak peluang kerja kepada rakyat di sini.

“Saya akan teruskan program pembangunan pelancongan dan itu merupakan antara tarikan utama di Mas Gading sekaligus dapat menyediakan peluang pekerjaan.

“Tak dinafikan memang BN dahulu ada buat sesuatu tapi last minute dan saya akan teruskan apa saja langkah yang baik dan menguntungkan masyarakat,” tegasnya. – Roketkini.com