Berita

BN mesti pulangkan dana terkait 1MDB – Kit Siang

Parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan SUPP perlu memulangkan semula sejumlah RM470 juta yang diterima daripada dana 1MDB, kata tokoh veteran DAP Lim Kit Siang.

Kenyataan ini dibuat merujuk kepada laman mini terbitan Malaysiakini yang mendedahkan sekurang-kurangnya RM470 juta dana 1MDB mengalir keluar kepada pertubuhan politik melalui 102 transaksi, tidak termasuk individu antara bulan April 2012 dan Ogos 2013.

“UMNO menerima sejumlah besar dana iaitu RM417.4 juta atau 88.8 peratus daripada jumlah itu. Penerima kedua terbesar pula ialah MIC iaitu RM20.55 juta dan MCA sebanyak RM16.5 juta,” katanya dalam kenyataan.

Pendedahan laporan tersebut katanya telah diagih-agihkan kepada beberapa cabang parti termasuk perpustakaan milik parti.

“UMNO, MCA, MIC dan SUPP mempunyai Anggota Parlimen dan mereka perlu menjawab pendedahan oleh Malaysiakini itu semasa ucapan membahas titah diraja,” katanya lagi. – Roketkini.com