Berita

PM tegaskan kerajaan HARAPAN komited laksana janji manifesto

Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) komited merealisasikan 60 janji dan 42 iltizam yang terkandung di dalam Buku Harapan tegas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan juga komited merealisasikan semua 10 janji dalam tempoh 100 hari sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.

Namun Dr Mahathir menjelaskan, terdapat beberapa perkara yang perlu diutamakan dan dilaksanakan.

“Harus diingat, tumpuan kerajaan bukan hanya kepada 10 janji sahaja. Dalam 100 hari kerajaan ada banyak kerja perlu dilaksanakan.

“Yang diutamakan ialah tindakan membersih kerajaan daripada kerosakan hasil daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa yang melanda jentera kerajaan terdahulu.

“Tindakan undang-undang terhadap jenayah yang dikesan dalam kerajaan, usaha mengesan dan mendapatkan balik wang yang hilang, menyusun semula jabatan dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam soalannya, Fong meminta Perdana Menteri menyatakan apakah janji  kerajaan HARAPAN 100 hari selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan apa yang telah, sedang dan belum ditunaikan serta sebab kelewatan itu. – Roketkini.com