Rencana

Pembatalan Projek ECRL: Kebajikan Pekerja Tempatan dan Langkah Mitigasi Alam Sekitar

Berikutan pembatalan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pihak kerajaan digesa memberi perhatian kepada kebajikan pekerja tempatan yang kehilangan sumber pendapatan dan menjalankan langkah-langkah mitigasi terhadap kawasan pembinaan yang bakal ditinggalkan.

Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembatalan projek ECRL. Perkara ini tidaklah mengejutkan kerana, Pakatan Harapan memang berjanji dalam Manifesto PRU14 untuk menyemak semula projek-projek mega yang melibatkan berbillion dana kerajaan dan juga pinjaman antarabangsa.

Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa projek ECRL dapat memberi kebaikan kepada pertumbuhan ekonomi kawasan Bentong, tindakan pembatalan disokong berdasarkan kos projek yang terlampau tinggi dan beban kewangan semasa Kerajaan yang tinggi.

Pihak Kerajaan perlu sedar bahawa pembatalan projek ini secara langsung telah memberi kesan kepada hampir 2,000 pekerja yang hilang sumber pendapatan. Amatlah dikesali apabila dianggarkan lebih 1,000 orang pekerja terdiri daripada warga Malaysia dan anak tempatan Bentong sendiri.

Pihak kerajaan perlu memberi perhatian yang khusus kepada kebajikan pekerja tempatan yang terkesan daripada pembatalan projek ini termasuklah memastikan mereka diberi pampasan kewangan yang sewajarnya dan bantuan untuk mendapatkan pekerjaan yang baru.

Kerja-kerja pembinaan projek ECRL di kawasan Genting dan Bentong dikatakan telah mencapai kemajuan antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Terdapat kawasan hutan yang sudah ditebang, tanah yang sudah diterangkan dan bukit yang sudah dikorek untuk pembinaan rel dan terowong. Jika tapak-tapak pembinaan ini ditinggalkan begitu sahaja sejurus pemberhentian projek, ia akan membawa kesan yang buruk kepada alam sekitar dan boleh mengakibatkan bencana alam pada masa hadapan.

Pihak Kerajaan perlu memastikan bahawa pihak kontraktor atau mana-mana pihak berwajib melakukan langkah-langkah mitigasi dan pemulihan terhadap tapak-tapak pembinaan yang akan ditinggalkan dengan secepat mungkin. Tapak-tapak pembinaan yang ada sekarang berada di kawasan-kawasan kritikal bagi alam semulajadi kawasan Bentong. Amatlah dikhuatiri sekiranya sebarang bencana berlaku terutamanya ketika fasa monsun Pantai Timur yang akan tiba kelak.

Pihak Kerajaan perlu peka bahawa selepas pembatalan dan pemberhentian projek pembinaan yang besar seperti ECRL, ada juga langkah-langkah penting yang perlu dilakukan terutamanya yang melibatkan kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar. – Roketkini.com