Kerajaan Negeri Johor yang diterajui Pakatan Harapan julung kalinya menganjurkan Festival Ayer Hitam Putih yang berlangsung pada 26 dan 27 Oktober lalu, di Ayer Hitam, Johor.
Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi Dan Ekonomi Kreatif (EXCO) negeri, Sheikh Omar Ali berkata ia diadakan bagi mengalakkan aktiviti berasaskan ekonomi kreatif di kalangan komuniti setempat.
“Ramai yang bertanya mengapa Ayer Hitam-Putih? Pertama kerana kita mahu memberi penekanan kepada penglibatan daripada komuniti tempatan, maka pemilihan tema festival keusahawan itu kita angkat nama komuniti.
“Kebetulan, Ayer Hitam ini kedudukannya berada di tengah-tengah antara utara dan selatan.
“Keduanya, kerana kita mahu memperlihatkan sisi lain Ayer Hitam yang juga kaya dengan pelbagai budaya dan kreativiti yang ada potensi ekonomi.
“Dalam Festival ini, hitam-putih adalah satu spektrum warna di antara hitam hingga putih yang ingin kita terokai dan olah untuk kepentingan rakyat Johor, khususnya Ayer Hitam,” katanya dalam ucaptama pada program itu semalam.
Menurutnya, Johor merupakan negeri pertama yang meletakkan ekonomi kreatif sebagai salah satu portfolio EXCO.
“Johor memiliki potensi yang besar dengan kedudukan geografi yang strategik, banyak kerencaman budaya, kekayaan khazanah sejarah, keragaman modal insan, serta kesediaan prasarana yang memungkinkan untuk kita melonjak menjadi permain utama ekonomi kreatif di dunia.
“Kita tahu bahawa bakat-bakat dalam bidang kreatif dan keusahawanan dinegeri Johor ini, ramai dan mampu menghasilkan sesuatu yang baru, yang akan menjadikan Johor sebagai hub kreativiti yang terbaik di Malaysia,” ujarnya.
Tambah Sheikh Omar yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, ekonomi kreatif bukan hanya tertumpu kepada industri perfileman, animasi dan rekabentuk, malah perancangan bandar dan kaedah penyelesaian masalah komuniti.
“Di Malang Indonesia umpamanya, sebuah perkampungan setinggan, kampung Jodipan yang menghadapi masalah pembuangan sampah dan ketiadaan sistem sanitasi diatasi dengan mengecat keseluruhan kampung termasuk rumah, jembatan dan laluan pejalan kaki dengan warna-warni.
“Hasilnya, kampung setinggan tersebut menjadi tumpuan pelancong untuk berselfie. Penduduk mula mengenakan yuran masuk yang kemudiannya digunakan untuk membiayai kos pengurusan sampah dan sanitasi. Malah, kampung yang awalnya mahu dirobohkan, kini menjadi tumpuan pelancongan – sehingga dikenali sebagai perkampungan pelangi,” ujarnya.
Langkah mula gerakkan gagasan besar
Katanya lagi, Festival Ayer Hitam Putih merupakan langkah mula dalam usaha kerajaan negeri untuk mengerakkan gagasan yang lebih besar.
“Pada masa yang sama, portfolio saya sedang merancang satu Pelan Tindakan untuk Ekonomi Kreatif Negeri Johor yang inklusif dan bersepadu agar usaha kita ini akan gerakkan dan dicapai demi kebaikan rakyat dan ekonomi negeri,” katanya.
Festival yang berlangsung selama dua hari itu dipenuhi dengan aktiviti keusahawanan dan pelbagai persembahan kebudayaan.
Acara berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar. – Roketkini.com