Rencana

Hang Tuah dan keris yang menyembuhkan luka (Bahagian 1)

Dalam opera karya Richard Wagner bertajuk Parsifal yang berlatarbelakangkan tema Arthurian yang penuh dengan kesatria, raja, ahli sihir dan senjata ajaib, Raja Holy Grail, Amfortas telah dicederakan oleh musuhnya Klingsor, seorang ahli sihir yang jahat. Klingsor telah menggunakan seorang pengikut perempuannya yang digelar Mawar Neraka untuk menggoda Amfortas. Dalam Amfortas mabuk digoda, Klingsor merampas Lembing Suci miliknya lalu menusuk mencederakan Amfortas.

Kecederaan Amfortas seperti mana rasa malunya ditakdirkan tidak tersembuh walau berubat macam mana sekalipun. Akhirnya dalam kala Amfortas merayu hulubalang-hulubalangnya untuk menamatkan nyawa deritanya itu, hero cerita, Parsifal muncul dengan Lembing Suci dan mengisytiharkan: die Wunde schliesst der Speer nur, der sie schlug – Kecederaan oleh lembing suci hanya boleh disembuhkan dengan lembing suci.

****

Pada suatu hari, 300-400 tahun dahulu, yang jika bukan kerana berlaku peristiwa ini, tidak ubah semacam hari-hari biasa, ada seorang ahli menulis duduk di halaman rumahnya. Cuaca petang itu nyaman, sesuai untuk perbuatan-perbuatan merenung dan berfikir panjang lebar tentang perkara-perkara yang mendalam.

Apa yang direnung penulis itu kita mungkin tidak akan tahu segala-galanya. Tapi jika saya boleh cuba untuk teka, antara perkara yang difikirnya, “jika ada seorang Melayu yang hebat apa gaya rupanya?”.

Apabila datuk moyang kita itu merenung soalan ini, dia mengarang “Hikayat Hang Tuah”.

Hikayat Hang Tuah ialah karya sastera Melayu kuno yang paling panjang. Dr. Kassim Ahmad menyebut karya tersebut mempunyai 146,000 patah perkataan.

Apabila saya berbicara tentang Hang Tuah, saya tidak berminat untuk berdebat samada Hang Tuah wujud ke tidak.

Persoalan sama ada Hang Tuah itu benar-benar wujud atau tidak terpaksa saya biarkan untuk diperdebat oleh sejarawan dan ahli arkeologi. Saya tidak mempunyai ilmu dan kemahiran dalam lapangan itu.

Ada juga yang berkata, buat apa peduli jika Hang Tuah ini mungkin tidak wujud dan hanya cerita rekaan semata-mata?

Bersama dengan karya-karya agung tamadun yang lain seperti Ramayana dan Xi You Ji, walaupun mungkin rekaan semata-mata, Hikayat Hang Tuah telah memahatkan pengajaran dan nilai ke dalam fikrah dan jiwa masyarakat kita.

Dalam prakata beliau kepada Hikayat Hang Tuah, Dr. Kassim Ahmad menulis:

“Soal-soal apakah Hang Tuah dan Hang Jebat betul-betul ada, apakah cerita ini benar-benar berlaku dan sebagainya bukanlah soal-soal yang kena pada tempatnya….Hikayat Hang Tuah ialah sebuah epik Melayu. Di dalamnya telah dilahirkan cita-cita dan kebesaran bangsa Melayu. Ia telah mencatatkan riwayat hidup bangsa ini dari sejak mulanya, melewati zaman pembangunannya, lalu ke zaman kebesarannya, lalu ke saat nahasnya…Tokoh utamanya Hang Tuah, mewakili bangsa itu sendiri – cita-citanya, kebolehannya dan sikap hidupnya…”

Kita perlu faham bahawa Hikayat Hang Tuah bukan sekadar biografi tetapi ia juga merupakan sebuah rekod sejarah idea tamadun Melayu.

Justeru, minat saya tentang Hang Tuah menjangkaui kronologi dan naratif sejarah, tetapi lebih kepada nilai-nilai yang ingin disampaikan oleh pengarang melalui watak Hang Tuah tersebut. Suka tidak suka, Hang Tuah ialah imejan seorang Melayu ideal, ataupun dalam konsep Carl Jung, Hang Tuah itu archetype Melayu.

Professor Muhammad Haji Salleh menyifatkan Hang Tuah sebagai “kayu ukur identiti bangsa Melayu, pencapaian mereka dan juga sebagai panduan untuk masa depan.”

Saya suka memetik kata-kata watak Shima dalam filem XX Ray 2 apabila ditanya sama ada Hang Tuah ini hanyalah sekadar mitos yang tidak wujud. Jawabnya; “Hang Tuah existed and will always exist in the Malay soul.” (Hang Tuah wujud dan akan sentiasa wujud dalam jiwa Melayu).

Hang Tuah sebagai simbol perjuangan UMNO

Dalam aspek ini, Hang Tuah sudah sekian lama diambil UMNO sebagai simbol perjuangan. Ini jelas dari penampilan watak Hang Tuah oleh ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO apabila ada kalanya mereka berbaju Melayu bersama tanjak. Hang Tuah telah menjadi imejan Melayu tipikal yang dicop-lulus oleh UMNO, yakni, seorang hulubalang yang konservatif, hebat dalam seni silat, serta mempunyai penghayatan yang tinggi terhadap budaya Melayu.

Namun, bagi UMNO, perwatakan Hang Tuah yang membawa nilai sebenar kepada parti pemerintah sekian lama tersebut ialah sifat taat setia Hang Tuah kepada raja sebagai pelindung bangsa. Chandra Muzaffar merumuskan bagaimana dalam perjuangan menentang Malayan Union, pemimpin UMNO telah menonjolkan parti tersebut sebagai pelindung ataupun protector bangsa Melayu mengantikan tempat Raja-raja Melayu.

Justeru, mengikut sudut pandangan UMNO yang sedemikian, taat setia Hang Tuah yang tidak berbelah bahagi itu juga perlu diberikan kepada parti politik itu sendiri, sebagai pelindung bangsa Melayu. Biarpun UMNO mempunyai kelemahan tersendiri, seperti Raja Melaka zaman Hang Tuah, orang Melayu wajib menumpukan taat setia kepada penaung dan pelindung mereka.

Idea ini diulang-ulang dalam alam UMNO. Para pemimpin akan memakai baju pahlawan Melayu lengkap dengan tanjak dan keris; jelas memperagakan “gaya Hang Tuah”, archetype Melayu tetapi dalam imejan buatan parti tersebut yang tidak semestinya setia kepada watak Hang Tuah Hikayat. UMNO juga kerap melaungkan slogan, “takkan Melayu hilang di dunia”, kononnya kata-kata Hang Tuah, tetapi tidak dijumpai dalam Hikayat Hang Tuah ataupun Sulalatus Salatin.

Umum mengetahui bahawa keris amat menonjol dalam dunia UMNO. Malah, sejarah mencatat bahawa oleh sebab UMNO berkeras memasukkan keris dalam Sang Saka Merah Putih, bendera kuno kerajaan Nusantara, wakil-wakil Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah enggan meluluskan bendera tersebut dalam Perhimpunan Agung UMNO yang kedua di Ipoh pada Jun 1946.

Pada tahun 1987, ketika kemuncak ketegangan perkauman kerana debat tentang bahasa dan pendidikan Cina, Datuk Seri Najib Razak selaku Ketua Pemuda UMNO telah mengetuai satu kumpulan ahli-ahli pemuda UMNO melakukan protes di Stadium TPCA di Kampung Baru. Ketika demonstrasi, kumpulan tersebut telah menghunus keris dan panji-panji yang menampakkan keris berlumuran darah.

Hampir 20 tahun kemudian, sepupu Najib, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, telah menghunuskan keris dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 2005. Beliau selaku Ketua Pemuda telah membuat sedemikian sambil menyeru supaya ketuanan Melayu dilindungi. Hishammuddin telah meneruskan tradisi menghunus keris Panca Warisan dalam Perhimpunan Agung UMNO sehingga tahun 2009.

Pada tahun 2006, ada seorang perwakilan UMNO telah bertanya, “Datuk Hisham sudah menghunus, menjulang, dan mencium keris beliau. Kita nak tanya, bila Datuk Hisham nak menggunakan keris beliau?”

Khairy Jamaluddin, yang kemudiannya menjadi Ketua Pemuda UMNO pada tahun 2009, mengaku bahawa amalan ini merupakan antara faktor UMNO kehilangan undi masyarakat bukan-Melayu. – Roketkini.com

*Steven Sim adalah Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan