Rencana

Surat kepada warga kerja Lynas Malaysia

Ke hadapan warga kerja Lynas Malaysia yang dihormati,

Saya membaca berita bahawa seramai 130 daripada kalangan kakitangan LAMP telah datang ke Parlimen untuk menggesa pihak Kerajaan menyelamatkan pekerjaan tuan-tuan dan puan-puan. Saya memohon maaf kerana tidak berada di situ untuk menerima memorandum tuan-tuan dan puan-puan kerana saya kini berada di Katowice, Poland, menghadiri United Nation Climate Change Conference of the Parties mewakili Malaysia dalam gerakan global untuk menangani perubahan iklim dan kesannya.

Kalaulah saya tahu lebih awal tuan-tuan dan puan-puan ingin datang dari Kuantan untuk menyerahkan memorandum, saya akan meminta pegawai Kementerian berada di Parlimen untuk menerimanya. Saya ingin menyatakan di sini, pihak kami telah pun menerima memorandum tersebut.

Saya sangat mengerti perasaan susah hati jika hilang pekerjaan. Saya dibesarkan dalam estet dan ibu saya hanyalah seorang kerani, maka saya sangat memahami apa rasanya berpenat lelah mencari rezeki – nasi di pinggan, bumbung untuk berteduh, baju di badan dan anak ke sekolah.

Berhubung keputusan Kementerian MESTECC minggu lepas, izinkan saya menjelaskan keputusan Kementerian:

1. Terdapat dua residu utama terkumpul di Lynas Advanced Materials Plan (LAMP) iaitu, Water Leached Purification Residue (WLP) sebanyak 451,564 tan metrik dan Neutralization Underflow Residue (NUF) sebanyak 1.113 million tan metrik. (Saya percaya tuan-tuan dan puan-puan biasa melihat “bukit-bukit” residu ini di LAMP.)

2. Sehingga kini, tiada penyelesaian untuk residu terkumpul yang disimpan di tapak penstoran sementara dengan kaedah landfill terbuka.

3. Risiko merbahaya terhadap masyarakat sekeliling dan alam sekitar bertambah dengan peningkatan residu terkumpul kerana ianya terdedah kepada ancaman bencana alam seperti banjir besar.

4. Majikan anda telah DUA kali menyatakan komitmennya untuk mengeluarkan residu dari Malaysia. Jika anda belum pernah melihat surat ini, saya lampirkan bersama Surat Aku Janji yang ditulis oleh Lynas Corporation Ltd., Australia (Lynas Australia) dan Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas Malaysia) bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012. Memandangkan risiko merbahaya yang meningkat dengan peningkatan residu terkumpul, tindakan ini adalah satu keperluan.

5. Apakah kos kepada Lynas untuk membawa keluar residu mereka daripada Malaysia? Menurut laporan Australian Financial Review pada minggu lepas, kos kepada Lynas untuk membawa keluar residu ini hanya AUD14 juta kerana sebahagian besar kos ini AUD 46 juta boleh dituntut melalui insurans mereka. Berbanding dengan untung syarikat tersebut bagi tahun 2017-2018 yang mencecah AUD129 juta, ini merupakan hanya 10% daripada untung Lynas. Jika kiraan tersebut tepat, ini bermakna 10% daripada untung Lynas daripada operasi setahun yang lepas sudah mampu untuk menghantar balik sisa yang terkumpul dalam 6 tahun operasi.

(Laporan penuh Australian Financial Review boleh dibaca di sini)

6. Lebih-lebih lagi, selepas pengumuman pra-syarat dibuat oleh Kementerian ini pada minggu lepas, broker saham seperti UBS dan CLSA masih menegaskan syor “BELI” untuk saham Lynas. Broker UBS pula telah meletakkan sasaran harga saham LYNAS setinggi AUD3.10, iaitu hampir dua kali ganda daripada harga saham mereka sebelum pengumuman dibuat.

(Maklumat lanjut boleh dibaca di sini)

7. Perkara (5) & (6) menunjukkan pihak pengurusan Lynas Malaysia seolah-olah mementaskan sandiwara dengan pelbagai advertorial atau iklan berbayar di akhbar serta sidang media untuk memberikan gambaran negatif terhadap Kementerian tetapi hakikatnya pihak pengurusan Lynas Malaysia hanyalah menjaga keuntungan syarikat dengan tidak memenuhi komitmen mereka. Sebaliknya, sebagai seorang Menteri, saya bertanggungjawab menjaga kepentingan awam dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

8. Sesungguhnya saya tidak meminta lebih dari apa yang telah dijanjikan oleh majikan tuan-tuan dan puan-puan pada 2012. Maka menjadi harapan saya Lynas Malaysia menunaikan janji mereka secara ikhlas dan bersungguh-sungguh dengan memulakan proses penghantaran keluar residu WLP dari Malaysia.

9. Saya juga berharap tindakan ini memberi mesej kepada anak cucu dan generasi akan datang bahawa generasi ini telah melakukan yang terbaik untuk memelihara tanah pusaka bertuah ini.

“Saya yang menjalankan amanah”
Yeo Bee Yin

*Yeo Bee Yin adalah Menteri Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim