Berita

BN didakwa sabotaj program PH di Cameron

Barisan Nasional (BN) dan amalan taktik kotor terhadap pihak lawan berpisah tiada. Kali ini, ia berlaku dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Pahang.

BN yang menguasai kerajaan negeri Pahang didakwa mensabotaj majlis makan malam amal anjuran Pakatan Harapan (PH) yang sepatutnya berlangsung di Dewan Serbaguna Tringkap, pada saat-saat akhir.

Perkara itu didedahkan Anggota Dewan Undangan Negeri Tanah Rata, Chiong Yoke Kong yang berkata pihaknya dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberitahu dewan berkenaan tidak boleh digunakan untuk majlis tersebut.

“Rasanya tidak munasabah langsung kerana difahamkan JKKK belum ditubuhkan sejak pilihan raya umum lepas, jadi dari mana datang jawatankuasa kena siasat.

“Dewan ini juga merupakan dewan orang ramai, bukan kepunyaan peribadi mana-mana pihak, ia didirikan atas derma orang ramai kawasan ini. Kita pun sudah jual 55 tiket bernilai RM60 setiap seorang dan tempat program terpaksa ditukar ke dewan di Kampung Raja,” katanya.

Majlis itu diadakan bagi mengumpul dana kempen dan akan turut dihadiri oleh pemimpin tertinggi DAP.

Sementara itu, calon PH bagi PRK Cameron Highlands, M. Manogaran turut berasa kecewa dengan perkara berkenaan.

“Saya kecewa kerana kita masih menghadapi masalah sebegini di zaman Malaysia Baharu, dulu masa kita pembangkang sama juga, kita telah atur dan rancang majlis ini untuk penduduk sekitar Tringkap dan Kuala Terla dan ramai pembeli tiket pula terdiri daripada kalangan warga emas.

“Saya minta jangan buat begini dan guna alasan politik kononnya dewan tidak dapat digunakan untuk program politik. Siapa tempah dahulu kena diberi kebenaran untuk buat program, kempenlah secara bersih, terbuka dan telus,” ujarnya.

Manogaran bakal berdepan saingan empat penjuru membabtikan calon BN, Ramli Mohd Noor serta dua calon Bebas, Salehuddin Ab Talib serta Wong Seng Yee. – Roketkini.com