Berita

Mohamad Sabu tepis dakyah perkauman dimainkan UMNO-PAS

Presiden Amanah merangkap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu membidas jentera kempen UMNO-BN dan PAS kerana menggunakan isu perkauman dan agama bagi meraih sokongan di Cameron Highlands.

Beliau berkata demikian merujuk tuduhan dan tohmanan yang dilemparkan kedua-dua sekutu berkenaan terhadap Pakatan Harapan sepanjang tempoh dua minggu berkempen di kawasan tersebut.

Menurutnya, DAP, yang merupakan parti komponen PH, paling banyak dilemparkan dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

“Inilah corak kempen (UMNO-BN-PAS), isu perkauman. (Mereka kata) habislah sekarang ini DAP perintah Malaysia, habislah orang Melayu, habislah kedudukan Raja-raja Melayu.

“(Tetapi) kelmarin Raja-raja Melayu bermesyuarat dan telah bersetuju untuk melantik Baginda Sultan Pahang sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu dan 31 haribulan ini (akan berlangsung) pertabalan untuk mengangkat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menjadi tongak kepada Perlembagaan Malaysia.

“Adakah di bawah Pakatan Harapan terjejas kedudukan Raja-raja Melayu ini?” soalnya sambil disambut dengan sorakan “tidak” oleh hadirin pada ceramah “Membangun Bersama Harapan” di Felda Sungai Koyan, hari ini.

Beliau turut menarik perhatian hadirin mengenai tuduhan yang dilemparkan UMNO-BN dan PAS sebelum ini bahawa kepentingan orang Melayu di Pulau Pinang kononnya terjejas di bawah pentadbiran bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Bagaimanapun, dakyah perkauman dan agama seumpama itu, katanya, kian tenggelam apabila rakyat mulai sedar dan merasai usaha kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah PH menjaga kebajikan institusi Islam di negeri itu.

“Sekolah agama dapat bantuan. Orang hafaz Al-Quran di Pulau Pinang ada elaun, ada negeri lain hafaz Al-Quran dapat elaun? Pondok-pondok pun dapat bantuan.

“Masuk penggal ketiga (pentadbiran PH di Pulau Pinang), UMNO tinggal dua kerusi,” ujarnya bagi menggambarkan pengaruh UMNO yang semakin berkurang di Pulau Pinang.  

Turut hadir pada ceramah hari ini adalah Presiden Amanah merangkap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; calon PH, Manogaran serta barisan kepimpinan PH lain.

Manogaran berdepan dengan tiga lawan dalam saingan empat penjuru membabitkan calon BN, Ramli Mohd. Nor serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab. Talib dan Wong Seng Yee. – Roketkini.com