Berita

Sheikh Omar bakal dilantik jadi anggota lembaga pemegang amanah Yadim

Sheikh Omar Ali bakal dilantik menjadi anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk tempoh dua tahun, lapor portal Malaysiakini.

Memetik sumber, watikah pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh itu akan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal agama) Mujahid Yusof di Putrajaya esok.

Sheikh Omar adalah Setiausaha Publisiti DAP Johor dan kini menjawat jawatan exco pembangunan usahawan, koperasi, penerangan dan ekonomi kreatif Johor.

Sumber turut menegaskan bahawa latar belakang DAP yang dimiliki Sheikh Omar tidak akan menjejaskan pelantikannya.

“Kalau kita ingat, Sheikh Omar dulu pernah dispekulasi sebagai bakal exco agama (Johor), tetapi tidak menjadi kenyataan.

“Lagi pun bidang pengajiannya memang dalam pengajian Islam,” katanya.

Sheikh Omar mendapat pendidikan peringkat ijazah dalam bidang pendidikan peringkat ijazah dalam bidang usuluddin di Universiti Malaya (UM) dengan pengkhususan dalam dakwah.

Yadim ditubuhkan pada 1974 bagi menyelaraskan kegiatan badan-badan dakwah serta NGO agar seiring dengan dasar negara serta menjadi pemangkin ke arah penyebaran dakwah di Malaysia.

Agensi itu kini dipimpin oleh yang dipertuanya yang baru Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas mursyidul am PAS Nik Aziz Nik Mat. – Roketkini.com