Seorang pemimpin DAP memberi tempoh 24 jam kepada Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob untuk menarik balik kenyataannya yang berunsur hasutan dan berniat jahat terhadap kerajaan Pakatan Harapan.
Kegagalan berbuat demikian, kata Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng, akan menyaksikan pemimpin pembangkang itu berdepan dengan tindakan undang-undang.
“Provokasi ‘jihad’ yang dilaungkannya boleh membawa kepada pertumpahan darah dan orang tidak bersalah menjadi korban gara-gara penipuan yang dilemparkan beliau terhadap Pakatan Harapan yang dituduh kononnya anti-Melayu dan anti-Islam.
“Ini mungkin adalah tindakan paling melampau UMNO kerana menghasut penyokong UMNO dan PAS untuk melancarkan perang ‘jihad’ terhadap kerajaan persekutuan adalah sama seperti menentang Yang di-Pertuan Agong, yang melantik Perdana Menteri, yang merupakan seorang Melayu dari PPBM, sebuah parti berasaskan Melayu dan kabinetnya untuk menguruskan negara kita,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Tambah, Lip Eng, kenyataan Ismail Sabri itu mengguris hati penjawat awam serta rakyat, sekaligus menggesa agar beliau membuat permohonan maaf.
“Dakwaan Ismail Sabri bahawa kerajaan Pakatan Harapan kononnya ‘anti-Melayu’ dan ‘anti-Islam’ adalah sikap tipikal Barisan Nasional, yang bergantung kepada politik pembohongan dan menyebarkan kebencian dengan tujuan untuk memusnahkan ikatan harmoni antara kaum negara ini,” ujarnya. – Roketkini.com