Rencana

Pilihan raya tempatan: Kembalikan hak kami!

“Taxation without Representation is tyranny – James Otis”

Pilihan raya tempatan adalah suatu proses pilihan raya bagi memilih pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal perbandaran di kawasan yang telah ditetapkan. Pihak berkuasa tempatan atau dikenali sebagai PBT adalah kerajaan peringkat ketiga selepas kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. PBT dikategorikan kepada tiga status iaitu Dewan Bandaraya (contoh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), Majlis Bandaraya (Majlis Bandaraya Petaling Jaya), Majlis Perbandaran (Majlis Perbandaran Kluang) dan Majlis Daerah (Majlis Daerah Kuala Selangor).

Pilihan raya tempatan merupakan perkara yang diperuntukkan secara jelas dalam Item 4(a), Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Walaupun berada di bawah kuasa kerajaan negeri, kerajaan persekutuan melalui Perkara 95A Perlembagaan, mempunyai kuasa untuk menyelaraskan pentadbiran PBT melalui Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan yang dianggotai oleh wakil-wakil di setiap negeri di Malaysia.

Hampir 101 daripada 192 negara di dunia mengadakan pilihan raya tempatan termasuk negara-negara jiran, Indonesia dan Thailand. Namun, di Malaysia, pilihan raya tempatan telah pun digantung pelaksanaannya sejak tahun 1964.

Penggantungan pilihan raya tempatan dinyatakan secara khusus dalam Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menyatakan:

  1. Peruntukan berhubungan dengan pilihan raya kerajaan tempatan terhenti mempunyai kesan.

(1) Walau apapun yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, semua peruntukan berhubungan dengan pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah terhenti berkuat kuasa atau mempunyai kesan.

(2) Semua Anggota Majlis yang memegang jawatan sebelum sahaja mula berkuatkuasanya Akta ini adalah serta-merta terhenti memegang jawatan.

Struktur PBT hari ini

Dalam struktur hari ini, PBT diketuai oleh Datuk Bandar (bagi Dewan Bandaraya dan Majlis Bandaraya) dan Yang Dipertua (bagi Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah). Mereka ini dilantik oleh kerajaan negeri daripada penjawat awam manakala ahli-ahli majlis pula dipilih berdasarkan kuota parti yang memerintah sesuatu negeri. Namun, setiap PBT berhak untuk menyediakan kuota ahli majlis daripada golongan minoriti atau NGO.

Skop PBT tertakluk seperti yang diperuntukkan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976. PBT dibahagikan mengikut status iaitu Dewan Bandaraya, Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah. PBT ditentukan menurut jumlah populasi, kepesatan urbanisasi dan kestabilan kewangan PBT. PBT bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan, meluluskan kebenaran merancang projek-projek komersil, kutipan cukai taksiran, pengurusan sampah, pengurusan papan tanda, infrastruktur jalan raya dan longkang, kawalan lalulintas, penjagaan landskap, pengurusan taman-taman awam, meluluskan kebenaran lesen perniagaan, pengurusan pasar-pasar awam, pengurusan kemudahan awam dan pelbagai perkara yang berkaitan secara langsung dengan penduduk di kawasan setempat.

Setiap PBT juga bertanggungjawab menyediakan bajet tahunan yang akan diluluskan di peringkat kerajaan negeri bagi urusan operasi dan pembangunan berdasarkan hasil kutipan perniagaan dan taksiran di kawasan setempat.

Tanggungjawab yang besar ini telah menimbulkan pelbagai masalah yang memberi kesan kepada pembayar cukai antaranya, kebenaran projek-projek komersil tanpa persetujuan penduduk, masalah penyampaian, ketidakcekapan pengurusan PBT dan masalah rasuah serta ketirisan. Hal ini menimbulkan ketidakpuashatian penduduk sehingga muncul idea-idea untuk merombak sistem pengurusan PBT agar ia lebih demokratik dan menggalakkan penglibatan penduduk setempat dalam proses tersebut. Maka, cadangan pilihan raya tempatan dikemukakan untuk memastikan pengurusan PBT menjadi lebih terbuka dan kompetitif dan bukan sekadar sebuah jabatan di bawah pengurusan negeri.

Cadangan mengembalikan pilihan raya tempatan

Cadangan ini bukanlah suatu perkara baru, perkara ini telah pun dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat dalam manifesto mereka pada tahun 2008 dan juga dimasukkan dalam Buku Jingga pada 19 Disember 2010. Idea ini kemudiannya, dimasukkan juga dalam Manifesto Buku Jingga di mukasurat 19 menyatakan:

Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik.

Janji ke-25 Pakatan Harapan juga telah memasukkan elemen berkaitan pilihan raya tempatan dalam manifesto Pakatan Harapan seperti berikut:

Pakatan Harapan komited untuk memperkukuhkan demokrasi setempat. Akauntabiliti PBT kepada masyarakat setempat akan dipertingkatkan agar mereka menjadi lebih bertanggungjawab kepada penduduk setempat dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Bukan itu sahaja, komitmen untuk benar-benar merealisasikan pilihan raya tempatan telah pun dilaksanakan oleh DAP di Pulau Pinang. Kerajaan negeri telah pun meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Prai) dan telah mengambil tindakan undang-undang pada tahun 2012.

Kerajaan Pulau Pinang telah memfailkan petisyen ke Mahkamah Persekutuan menuntut agar mahkamah membenarkan pilihan raya tempatan diadakan dan mengisytiharkan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 adalah terbatal dan Enakmen 2012 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sebagai sah dan memperuntukkan bagi Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang.

Malangnya, Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya pada tahun 2014, [Government State of Penang & Anor v Government of Malaysia & Anor [2014] 7 CLJ 861] memutuskan bahawa pilihan raya tempatan tidak boleh diadakan selagi mana peruntukan seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 masih lagi tidak dimansuhkan oleh kerajaan persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak mempunyai tanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya tempatan walaupun diminta oleh kerajaan negeri.

Oleh yang demikian, tanpa pemansuhan Seksyen 15, usaha untuk memperkenalkan pilihan raya tempatan di Malaysia akan terus terbantut.

Sejarah pilihan raya tempatan

Pentadbiran PBT mula diperkenalkan oleh British di Pulau Pinang. British telah menubuhkan PBT pertama yang dikenali sebagai The Committee of Accessors pada tahun 1801. Kemudiannya, PBT dirombak dengan penggubalan Akta 1856 (Act IX). Sebuah Majlis ditubuhkan yang terdiri daripada 5 orang ahli daripada kalangan pembayar cukai, lantikan daripada Gabenor dan Residen Konsular. Akta ini hanya terpakai kepada Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Pada masa itu, calon ahli majlis hendaklah seorang pembayar cukai dan hendaklah tinggal di kawasan yang ingin ditandingi. Manakala, akta tersebut mensyaratkan bagi pemilih merupakan seorang pembayar cukai taksiran bagi jumlah yang tidak kurang 25 rupees pada ketika itu. Pemilih juga tidak semestinya perlu tidak tinggal di kawasan tersebut tetapi hendaklah memiliki harta di sana.  

Pilihan raya tempatan telah diadakan di Singapura pada 5 Disember 1857 manakala Georgetown dan Melaka mengadakan pilihan raya antara 5 dan 20 Disember 1857. Selepas itu, pada tahun 1888, berlaku rombakan terhadap pentadbiran majlis PBT dengan menambah jumlah ahli majlis kepada 6 orang dan memperkenalkan sistem lantikan. Pada ketika itu, tiga orang ahli majlis dipilih melalui pilihan raya manakala tiga orang ahli majlis dilantik secara terus.  

British kemudiannya telah memperkenalkan The Municipal Ordinance 1913 untuk memansuhkan pilihan raya tempatan dan menggantikan sistem lantikan. Ahli-ahli majlis dan Presiden PBT dilantik oleh Gabenor daripada kalangan pembayar cukai di kawasan tersebut.

Pada tahun 1951, sistem lantikan dimansuhkan dan British telah memperkenalkan Local Authorities Election Ordinance 1950 dengan memperkenalkan 3 kategori PBT iaitu Municipalities (Majlis Perbandaran), Town Boards (Lembaga Bandaran) dan Rural Board (Lembaga Daerah)

Akta baru ini telah mengembalikan pilihan raya tempatan untuk melantik majoriti ahli majlis dan pada masa yang sama, membenarkan ahli majlis dilantik tertakluk kepada perlembagaan majlis. Datuk Bandar/Pengerusi PBT akan dilantik di kalangan ahli-ahli majlis yang telah dipilih. Struktur PBT pada ketika itu juga membenarkan pelantikan wakil-wakil minoriti sebagai ahli majlis namun, tidak boleh melebihi satu pertiga daripada jumlah ahli yang telah dipilih. Pilihan raya pertama yang pertama di bawah Local Authorities Election Ordinance 1950 adalah di Majlis Perbandaran Georgetown pada 1 Disember 1951.  

Seterusnya, pada tahun 1960, Akta Pilihan Raya Tempatan 1960 diluluskan dengan menyerahkan urusan pilihan raya tempatan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Calon ahli majlis dibenarkan bertanding berdasarkan sokongan parti politik namun, bagi sesetengah negeri, logo parti politik tidak dibenarkan. Calon hendaklah menggunakan logo sendiri yang juga ditentukan melalui undian. Alasan larangan ini adalah untuk mengelakkan campur tangan parti politik dalam pentadbiran PBT.

Pun begitu, penggunaan logo parti politik telah pun diselaraskan dengan membenarkan parti politik untuk menggunakan simbol partinya sekiranya mendapatkan kelulusan SPR.  

Bagaimanapun, pilihan raya tempatan hanya sempat diadakan sekali sahaja selepas penggubalan akta baru ini. Selepas itu, berlakunya konfrontasi Malaysia dengan Indonesia yang menyebabkan Malaysia mengisytiharkan darurat pada 3 September 1964. Walaupun kini darurat tersebut telah pun ditarik balik pada tahun 2011, kesannya terhadap pilihan raya tempatan masih kekal.

Laporan Athi Nahappan 1965: Cadangan struktur pilihan raya dan PBT

Selepas pilihan raya tempatan digantung, kerajaan pada masa itu telah menubuhkan suatu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diketuai oleh Senator Athi Nahappan untuk mengkaji keberkesanan PBT dan seterusnya mengemukakan cadangan untuk menambah baik sistem PBT di Malaysia. Laporan tersebut yang dikenali sebagai Laporan Athi Nahappan telah dikeluarkan pada tahun 1968 selepas mempertimbangkan 331 memorandum yang dikemukakan oleh masyarakat sivil ketika itu. Laporan Athi Nahappan telah mencadangkan agar pilihan raya tempatan dikembalikan dengan struktur dan prinsip berikut:

Sistem pilihan raya PBT

  1. Setiap PBT hendaklah mempunyai piliha nraya tempatan.
  2. Pilihan raya tempatan hendaklah diadakan dalam tempoh 3 tahun sekali.
  3. Pilihan raya tempatan hendaklah dijalankan oleh SPR.
  4. SPR bertanggunghawab menentukan sempadan pilihan raya tempatan mengikut zon di setiap PBT.
  5. Sistem pilihan raya tempatan adalah berdasarkan undi majoriti mudah berdasarkan kawasan zon atau berdasarkan jumlah undian majoriti mengikut hierarki.
  6. Parti-parti politik dibenarkan untuk melibatkan diri dalam pilihan raya tempatan.

Struktur PBT

  1. Bagi Perbandaran (Municipal) – Majlis terdiri daripada Datuk Bandar, Ahli Majlis yang dipilih dan Setiausaha Perbandaran
  2. Bagi Majlis Daerah (District Council) – Majlis terdiri daripada Presiden, Ahli Majlis yang dipilih, Ahli Majlis yang dilantik dan Setiausaha Daerah
  3. Datuk Bandar dan Presiden dipilih dalam kalangan Ahli-Ahli Majlis yang dipilih melalui undi rahsia dan majoriti mudah.
  4. Tempoh jawatan Datuk Bandar dan Presiden adalah selama setahun.
  5. Setiausaha Perbandaran dan Setiausaha Daerah dilantik oleh kerajaan negeri untuk menguruskan pentadbiran rutin di Majlis dan peranan seperti Ketua Pegawai Eksekutif di dalam PBT.
  6. Manakala, Datuk Bandar dan Presiden merupakan ceremonial head bagi PBT dan bertanggungjawab mempengerusikan mesyuarat Majlis bagi menggubal polisi-polisi mengenai PBT.  

Perwakilan dalam Majlis PBT

  1. Kerajaan Negeri hendaklah memastikan bahawa terdapat cukup perwakilan yang mewakili golongan minoriti, NGO, sukan, kesatuan buruh, kebudayaan sebagai Ahli Majlis dan boleh melantik untuk mereka ke dalam Majlis PBT bagi tempoh setahun.

Model pilihan raya tempatan di Asia

Sebenarnya, pelaksanaan pilihan raya tempatan bukan hanya dilaksanakan di negara Barat, kerajaan Malaysia boleh merujuk kepada negara-negara Asia yang sentiasa konsisten untuk melaksanakan pilihanraya tempatan di negara mereka.

Contohnya, negara Indonesia merupakan negara majoriti Muslim yang melaksanakan pilihan raya tempatan. Sistem Indonesia terbahagi kepada tiga peringkat iaitu Provinsi, Kota dan Kabupaten. Setiap peringkat mempunyai Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) yang berfungsi seperti Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Pilihan raya di sana diadakan untuk tempoh 3 tahun.

Dalam pilihan raya peringkat pertama (Pemilihan Legislatif (PILEG)), pengundi perlu memilih calon legislatif di kawasan yang mereka duduki. Sekurang-kurang 10 kerusi dipertandingkan di peringkat kawasan atau wilayah tertentu di dalamnya, Selepas itu, mana-mana parti politik yang berjaya memiliki 6 kerusi atau lebih wakil di dalam DPRD berhak untuk mengemukakan nama calon Gabenor atau Walikota untuk dipertandingkan.

Seterusnya, pilihan raya kedua yang dikenali sebagai Pemilihan Kepala Daerah (PILKADA) diadakan untuk memilih Gabenor atau Walikota di kawasan tersebut. Sekurang-kurangnya 2 calon perlu dikemukakan oleh DPRD termasuk wakil calon bersamanya. Calon-calon yang bertanding sebagai perwakilan legislatif dan Gabenor di kawasan tersebut hendaklah bermaustatin di kawasan yang ditandinginya. Sistem pilihan raya ini terpakai di semua peringkat iaitu di peringkat pentadbiran Indonesia.

Sistem demokrasi di India juga mempunyai persamaan dengan negara kita. Mereka memiliki kerajaan persekutuan yang diketuai oleh Perdana Menteri, pentadbiran kerajaan negeri dan kerajaan tempatan yang terbahagi kepada 2 peringkat iaitu Majlis Bandar (Urban Council) dan Panchayati (luar bandar). Untuk makluman, negara India mempunyai 267,428 PBT yang menguruskan kawasan setempat dan menjalankan pilihan raya tempatan setiap 5 tahun sekali.

Sistem pilihan raya tempatan adalah berbeza-beza mengikut negeri. Kesemua ahli majlis dipilih melalui sistem first-past-the-post. Tempoh ahli majlis adalah selama lima tahun manakala jawatan Gabenor atau Datuk Bandar dipilih secara langsung atau tidak langsung berbeza mengikut negeri.

Undang-Undang di India juga memperuntukkan satu pertiga ahli majlis dipilih di kalangan wanita dan terdapat kuota khas kepada kasta atau kaum tertentu untuk dipilih sebagai ahli Majlis.

Menangani salah faham dan keperluan demokrasi tempatan

Apabila Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan Persekutuan pada 9 Mei 2018, perbincangan mengenai pilihan raya tempatan mula mendapat tempat di kalangan masyarakat. Oleh sebab itu, Menteri Perumahan Tempatan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin telah berjanji untuk menyediakan kajian bagi memperkenalkan pilihan raya tempatan dalam masa 3 tahun.

Namun, perkara ini mendapat respon negatif di kalangan pemimpin UMNO dan PAS, apabila menyifatkan pilihan raya tempatan hanya memanfaatkan kaum Cina dan menyebabkan perpaduan kaum terjejas.

Hal ini jelas merupakan salah faham dan fakta yang tidak tepat. Pilihan raya tempatan sepertimana pilihan raya berfungsi untuk memastikan rakyat diberi hak untuk memilih pemimpin mereka di peringkat akar umbi. Berdasarkan bancian, 122 daripada 148 kawasan PBT mempunyai majoriti penduduk Melayu manakala 13 kawasan pula menunjukkan tiada mana-mana kaum yang mempunyai majoriti. Oleh yang demikian, persepsi untuk mengatakan PBT akan dikuasai orang Cina adalah jelas menyimpang jauh dan berniat jahat untuk menafikan hak demokrasi penduduk setempat.

Tambahan pula, setiap PBT akan memperuntukkan kuota pemilihan kepada wakil-wakil daripada golongan minoriti, NGO atau badan-badan bebas menganggotai PBT agar tiada mana-mana pihak atau kaum merasakan mereka diabaikan dalam pentadbiran PBT. Struktur ini juga digunapakai dalam mana-mana pilihan raya tempatan bagi mengimbangi kuasa majoriti.

Pilihan raya tempatan juga diperlukan kerana setiap penduduk di kawasan PBT berhak untuk diwakili. SloganTiada Cukai Tanpa Perwakilan adalah slogan yang tepat bagi memahami keperluan pilihan raya tempatan. Wakil-wakil dipilih untuk memastikan penggubalan bajet benar-benar memenuhi aspirasi penduduk di kawasan tersebut kerana setiap penduduk di kawasan adalah pembayar cukai dan suara mereka hendaklah didengari.

Malah, tidak semestinya kaum majoriti akan mengundi hanya berdasarkan faktor kaum semata-mata. Kesemua daripada kita menghadapi masalah perbandaran yang sama dan paling penting adalah memastikan pentadbiran PBT sentiasa berlaku adil dan menyampaikan perkhidmatan dengan baik, Hal ini boleh dilihat apabila majoriti penduduk London yang beragama Kristian telah memilih Sadiq Khan, seorang Muslim untuk menjadi Datuk Bandar London pada tahun 2016 atas khidmatnya yang ditonjolkan sebelum ini.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Merdeka Centre pada Jun 2010, 71 peratus rakyat di Semenanjung Malaysia bersetuju (tidak kira kaum atau agama) untuk kerajaan melaksanakan pilihan raya tempatan. Hal ini membuktikan rakyat Malaysia sudah lama bersedia untuk menghadapi pilihan raya tempatan agar mereka dapat memilih wakil di tempat tinggal mereka.  

Cuma yang tinggal hanyalah struktur pilihan raya tempatan yang ingin dilaksanakan. Sepertimana pilihan raya persekutuan dan pilihan raya negeri, pelaksanaan pilihan raya tempatan merupakan salah satu amalan terbaik demokrasi di peringkat antarabangsa. Tiada apa yang janggal dan pelik bagi Malaysia mengikuti langkah ini.

Sebagai permulaan, kerajaan boleh memperkenalkan pilihan raya tempatan di kawasan-kawasan Majlis Bandaraya sebagai pilot project dan seterusnya kepada Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah. Rakyat perlu difahamkan bahawa pilihan raya ini menguntungkan semua pihak dan penglibatan rakyat setempat sangat dialu-alukan.

Diharapkan dengan semangat Malaysia Baru ini, kerajaan Pakatan Harapan bakal memberikan hadiah demokrasi yang terbesar dengan mengembalikan semula hak mengundi rakyat setempat selepas 48 tahun dicabul oleh kerajaan sebelum ini. Hidup demokrasi tempatan! – Roketkini.com

*Farhan Haziq bin Mohamed adalah Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Ketua Pemuda DAPSY Subang, Pengerusi DAP Bandar Utama dan Peguam Sivil dan Syariah