Berita

Setpol Kit Siang seru rakyat tolak kenyataan ‘penumpang’ Tok Mat

Syahredzan Johan menzahirkan rasa kesal dengan tindakan Pemangku Presiden UMNO, Mohamad Hassan yang melabel orang bukan Melayu di negara ini sebagai “penumpang”.

Dalam satu hantaran di Facebook yang sarat dengan mesej perpaduan, Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang itu berkata, kenyataan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat itu tidak selari dengan semangat pelbagai kaum di Malaysia.

“Berdasarkan Perlembagaan Malaysia, mereka (orang bukan Melayu) adalah rakyat Malaysia. Mereka adalah rakyat Malaysia, seperti mana saya dan Mohamad Hassan,” tegasnya.

Beliau justeru menggesa agar rakyat Malaysia bersama-sama menolak sikap dan bahasa perkauman kerana ia boleh membuka jalan kepada golongan ekstrimis untuk berkuasa.

“Orang Melayu dan bukan Melayu mempunyai kepentingan dan suara di tanah air tercinta milik kita bersama ini,” tegasnya. 

During the Semenyih by-election, the media reported that UMNO Acting President, and Rantau candidate, Datuk Seri Mohamad…

Syahredzan Johanさんの投稿 2019年4月3日水曜日

Tok Mat sebelum ini dilaporkan berkata “terlalu banyak penumpang di Parlimen”. Kenyataan “penumpang” itu dipercayai merujuk kepada wakil rakyat bukan Melayu.

Pun begitu, Tok Mat yang merupakan calon Pilihan Raya Kecil DUN Rantau menafikan bahawa kenyataannya itu merujuk kepada orang bukan Melayu, tetapi kononnya disasarkan terhadap “menteri tidak berprestasi”.

Beliau membuat penjelasan itu menjelang PRK DUN Rantau pada 13 April nanti.

DUN Rantau mempunyai komposisi pengundi yang terdiri daripada 53.43 peratus Melayu, Cina (18.81 peratus), India (27.01 peratus) dan lain-lain (0.75 peratus). – Roketkini.com