Berita

UMNO, PAS sebar fitnah untuk raih undi orang Melayu, kata Mat Sabu

Presiden Amanah, Mohamad Sabu tampil menjawab tohmahan yang dilemparkan pembangkang terhadap PH sehingga menimbulkan kebimbangan orang Melayu dalam dalam satu ceramah di Seremban, semalam.

Menurut beliau, sentimen perkauman yang dimainkan UMNO dan PAS adalah sekadar untuk meraih undi orang Melayu dengan membuat tuduhan bahawa Pakatan Harapan (PH) kononnya dikuasai pemimpin DAP.

Beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama dalam ceramah PH di Kampung Mambau dekat sini, semalam.

Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu turut menegaskan bahawa tuduhan pembangkang kononnya keistimewaan yang dinikmati kaum Melayu akan terhakis di bawah pentadbiran PH adalah tidak benar.

Tegasnya yang juga Menteri Pertahanan, di bawah kerajaan PH, kepentingan semua kaum, termasuk orang Melayu terbela.

Justeru itu, beliau menyeru agar pengundi DUN Rantau khususnya orang Melayu agar tidak termakan momokkan bahawa nasib mereka tidak terbela di bawah PH dan menyokong calon PH bagi kelestarian kehidupan dan kawasan itu.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir dan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram.

Mat Sabu dalam pada itu, turut menasihati pengundi agar tidak termakan dakyah dan fitnah pembangkang kononnya TH diuruskan oleh DAP.

Katanya, apa yang perlu diberikan perhatian adalah nasib TH yang akan terus dibelenggu kerugian teruk jika ia masih di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional.

Kini, tambahnya, kerajaan sedang dan telah melaksanakan penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan tadbir urus kewangan yang dihadapi TH akibat daripada percaturan kerajaan terdahulu. – Roketkini.com