Berita

Cara pentadbiran Najib kendalikan kutipan GST menyalahi undang-undang

Tindakan menyalurkan terus kutipan GST ke Akaun Hasil Disatukan kerajaan persekutuan adalah suatu tindakan yang menyalahi undang-undang. 

Perkara itu dinyatakan Peguam Negara, Tommy Thomas dalam surat kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) pada Oktober lalu. 

Menurut beliau, tindakan itu melanggar Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957 dan Seksyen 54 Akta Barangan dan Perkhidmatan 2014.

“Rejim GST adalah berdasarkan asas bahawa pembayar cukai akan terima bayaran balik bagi jumlah GST yang mereka membayar dalam menghasilkan pembekalan bercukai.

“Hasrat parlimen adalah pembayar cukai menerima balik bayaran ini. 

“Dengan kegagalan untuk memastikan bahawa pembayar cukai menerima bayaran balik mereka, kerajaan yang dahulu gagal melaksanakan hasrat parlimen,” katanya.

Perkara ini dilampirkan dalam laporan PAC berhubung penangguhan pembayaran balik GST yang dilihat sebagai ‘rompakan’ bernilai RM19.4 bilion yang dikeluarkan hari ini.  – Roketkini.com