Rencana

MoF: Proses tuntutan mySalam mudah dan jelas

Seperti diumumkan terdahulu, skim mySalam tidak akan memberikan keuntungan kepada mana-mana syarikat insurans swasta. Semua premium yang dibayar Kerajaan, jika tidak digunakan sebagai tuntutan oleh penerima manfaat, akan dibayar balik kepada Tabung Amanah mySalam 

Harus ditekankan semula bahawa tiada unsur keuntungan bagi Great Eastern Holdings mahupun Great Eastern Takaful Berhad (GETB) melalui skim mySalam. Oleh itu, tiada insentif untuk GETB sebagai pengurus takaful mySalam untuk tidak mengeluarkan bayaran bagi mana-mana tuntutan yang layak. 

Proses tuntutan untuk mySalam mudah dan jelas. Seorang pesakit yang telah disahkan menghidapi mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal di hospital kerajaan, universiti atau tentera di Malaysia boleh menghantarkan laporan perubatan kepada mySalam untuk layak mendapatkan manfaat wang sebanyak RM8,000. 

Kredit grafik: Bernama

Kes yang disebarkan baru-baru ini tentang tuntutan penyakit kritikal yang telah ditolak daripada seorang pemandu lori berusia 48 tahun dengan kanser kolon tahap 4 adalah kerana beliau tidak menghantar salinan laporan perubatan daripada seorang doktor hospital kerajaan. GETB bersedia untuk membantu proses rayuan beliau untuk mendapat faedah penyakit kritikal sebanyak RM8,000. 

Maklumat berkenaan mySalam termasuk syarat-syarat kelayakan boleh dicapai dengan mudah secara atas talian di https://www.mysalam.com.my/ Selain itu, mySalam bersama organisasi-organisasi berkaitan juga sedang mengadakan program publisiti dan media, jerayawara dan sesi kesedaran secara meluas, serta reruai-reruai pop-up di hospital-hospital kerajaan utama untuk meningkatkan jumlah penerima manfaat daripada dana ini. – Roketkini.com