Rencana

Bukan warganegara Malaysia tak layak persoal kesetiaan anak watan

Sebagai seorang anak jati Malaysia generasi kelima, saya rasa hairan kenapa seorang ‘penumpang’ yang diburu oleh kerajaan negara asalnya boleh bermaharajalela di Malaysia setelah mengeluarkan hujah-hujah yang mempersoalkan kedudukan anak watan rakyat jati tanah air kita tercinta. 

Sebagai seorang yang menagih status pemastautin tetap, Dr. Zakir Naik tidak patut melemparkan tuduhan yang tidak berasas dan berbaur prejudis terhadap rakyat Malaysia. Terkini, ucapan beliau yang mempersoalkan kesetiaan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India menunjukkan kejahilan beliau tentang perpaduan rakyat di negara ini. 

Apa jenis pendakwah lah yang tergamak menanam kebencian antara agama dan keturunan, lebih-lebih lagi di negara yang memberikannya tempat tinggal dan perlindungan. Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang agama dan keturunan. Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara telah sekian lama melindungi hak-hak beragama tersebut. 

Tuduhan yang beliau lemparkan ini adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan. Mulanya, adalah jahil untuk beliau menghina masyarakat India di negara ini yang menurutnya lebih percaya dengan perdana menteri India berbanding Malaysia. Tidak cukup dengan itu, beliau mengumpamakan masyarakat Cina sebagai ‘tetamu’ dan perlu ‘pulang’. 

Saya ingin menegaskan bahawa sebuah negara berdaulat seperti Malaysia tidak patut lagi terperangkap di dalam situasi seperti ini. Sudah tiba masanya untuk Zakir Naik pulang ke negara asalnya secara sukarela bagi menghadapi dakwaan-dakwaan terhadap beliau. Saya berharap agar beliau tidak lagi dibenarkan mengadakan sebarang syarahan dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum serta ketenteraman awam di negara ini.

Sementara beliau masih berada di sini, saya menggesa supaya pihak polis mengambil tindakan segera menyiasat percakapan Dr Zakir Naik yang jelas berniat mengganggu-gugat ketenteraman awam dengan hujah serta pendekatannya yang rasis dan menghasut. 

Di sinilah kami dilahirkan, 

Ke sinilah kami pulang.

Yang harus pulang namanya Zakir, 

Terpulanglah jalan kaki atau naik kapal terbang. 

Tetamu jahil dan perosak tetap kami usir, 

Apa lagi penggigit tangan yang memberi makan. – Roketkini.com

*Kenyataan Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee.