Berita

‘Cintai dan Belilah Barangan Buatan Malaysia’

Kempen boikot yang dicetuskan NGO pro-pembangkang bukan sahaja menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama negara ini, malah turut memberi kesan terhadap ekonomi tempatan.

Kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, boikot terhadap industri minyak sawit misalnya, akan menjejaskan pendapatan peladang yang bergantung kepada hasil tanaman berkenaan. 

“Berdasarkan contoh di atas, setiap rakyat Malaysia harus mempromosi dan berbangga menggunakan produk yang dihasilkan oleh semua rakyat Malaysia. Dengan cara itu, industri tempatan kita akan berkembang ke tahap yang lebih tinggi. 

“Kita, tanpa mengira warna kulit, melayari bahtera yang sama bernama Malaysia. Jadi saya menyeru semua untuk menghayati slogan “Cintai dan Belilah Barangan Buatan Malaysia”.

“Lupakan boikot berkenaan dan bergerak ke arah perpaduan. Tolak segala hasutan yang mahu memecah-belahkan negara tercinta kita ini dengan sentimen kaum dan agama. Sudah-sudahlah!” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan menggesa agar kempen boikot barangan bukan bumiputera dan Islam dihentikan. 

Gerakan itu, katanya, tidak akan berkesan dan hanya akan mencetuskan kemarahan orang lain. 

“Mungkin ada orang yang cetek fikiran yang buat benda macam ini. Tetapi tak berkesan. Boikot itu senjata yang tak berkesan, tak guna buat (perkara) itu.

“(Ia) cuma timbul kemarahan. Jangan boikot barang sesiapa pun, bumiputera atau bukan bumiputera,” katanya.

Berkongsi nada yang serupa, Presiden PKR Anwar Ibrahim pula menyifatkan kempen boikot berkenaan sebagai langkah yang tidak sihat. 

“Kalau mahu promosikan produk halal, itu boleh diterima. Tapi kalau mahu promosikan kempen yang boleh menimbulkan pertengkaran semacam ini, isu-isu antara kaum, ia tak sihat,” katanya.  – Roketkini.com