Berita

Jangan sebar berita palsu, skim pencen tak dimansuhkan

Penyebaran berita palsu di media sosial semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Terbaru sebuah laman sesawang pro-pembangkang menggunakan tajuk berbaur fitnah berhubung Skim Pencen Perkhidmatan Awam. 

Laman sesawang, Cheese Cempedak, mengambil keseluruhan laporan Berita Harian dan memberikan tajuk yang jauh berbeza daripada isi dan maksud sebenar laporan asal.

Tajuk laporan yang diterbitkan Cheese Cempedak memfitnah kononnya “skim pencen perkhidmatan awam akan dimansuhkan tahun hadapan”.

Hakikatnya, tiada pengumuman yang menyentuh mengenai pemansuhan skim pencen dibuat oleh pihak kementerian.

Sebaliknya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah hanya menyentuh mengenai kemungkinan bahawa lantikan baharu dalam perkhidmatan awam tidak lagi dilakukan di bawah skim tetap dan berpencen, tetapi digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik pada tahun hadapan. 

Dalam bahasa mudahnya, skim pencen yang sedia ada kekal untuk pesara yang telah dan sedang menerima pencen, dan kekal kepada penjawat awam yang sudahpun dilantik. Cadangan ini hanya tertakluk untuk penjawat awam baharu yang akan dilantik.

Justeru, pengguna media sosial disarankan menyemak dan menilai dengan bijak sebarang maklumat yang diterima. Jika tidak pasti bagaimana untuk mengenal pasti berita palsu, grafik di bawah mungkin boleh membantu anda. – Roketkini.com