Rencana

Persefahaman senjata lawan wabak kebencian

Oleh Howard Lee

(Adun Pasir Pinji, Exco Kerajaan Negeri Perak dan Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY))

“Seluruh rakyat di negara ini perlu berdiri megah sebagai satu bangsa yang merentasi setiap perbezaan bagi mewujudkan perpaduan dan kebersamaan yang berkekalan.” Demikianlah titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Jelas Titah Diraja bersempena Istiadat Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2019 ini, baginda menyarankan supaya dirobohkan benteng pemisah yang menjadi penghalang kepada perpaduan. Maka, menjadi satu tugas mustahak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan, agama dan fahaman politik bagi memastikan keharmonian kaum dan agama kekal utuh. Wajib titah baginda diterjemahkan dalam gerak kerja yang mapan dan bersepadu.

Isu perkauman sempit yang menggagalkan perpaduan dan kebersamaan ini datang daripada anasir-anasir yang tidak senang dengan keharmonian kaum. Salah faham juga digandakan lagi melalui cetusan provokatif di media sosial demi mengaut keuntungan dan meraih sokongan. Kebebasan akhbar dan media pula telah diselewengkan untuk menyampaikan propaganda dan pandangan yang pesong faktanya. Sudah pasti, wabak ini akan terus menular sekiranya tidak ditangani secara cermat dan bijaksana.

Sejarah kita berkongsi tanah air Malaysia ini jauh lebih lama daripada enam dekad pembentukan persekutuan kita. Selayaknya kita sudah mampu untuk berdiri megah sebagai satu bangsa dan mempertahankan perpaduan ini. Kita sepatutnya bangga dengan takrifan Bangsa kita yang istimewa, yang diwarnai dengan kemajmukan dan kepelbagaian budaya dan keturunan, bukannya monolitik dan homogenus.

Namun begitu, kita masih perlu kepada pelan jangka panjang yang merentasi jurang antara keturunan dan agama demi mengatasi persoalan dan retorik perkauman sempit. Bak kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Satu-satunya jalan yang ada adalah melalui pengenalan modul pendidikan hubungan etnik yang terangkum dengan matlamat yang teratur dan terancang iaitu memberi perkenalan dan fahaman budaya, sejarah, seni kumpulan etnik masing-masing yang ada di masyarakat tanah air kita.

Perasaan dan budaya empati haruslah menjadi asasnya seperti yang disimpulkan oleh pepatah psikologis ulung dari kota Vienna, Dr Alfred Adler, “Empati adalah lihat dengan mata orang lain, dengar dengan telinga orang lain, dan rasa dengan hati orang lain” (Empathy is seeing with the eyes of another, listening with the ears of another and feeling with the heart of another).

Melentur buluh biarlah dari rebungnya, maka kefahaman dan pencerahan perlu bermula dari awal usia. Usaha ini perlu dipelopori melalui pendidikan pengenalan kepada sejarah, latar belakang dan keadaan sosial pra dan pasca kemerdekaan dari sudut pandangan semua kumpulan etnik di negara kita.

Usaha-usaha ke arah penyediaan sebuah modul perpaduan nasional yang segar akan dimulakan dengan segera. Modul yang bakal dirangka ini juga akan diperhalusi oleh pemikir akademik yang pakar dalam bidang hubungan etnik di negara kita. Usaha-usaha seperti ini sudah pasti akan membantu ke arah memupuk perasaan empati, mengukuhkan perpaduan, menyemai semangat harmoni dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan masyarakat.

Menyedari bahawasanya kian hari kian ketara kita dibelenggu masalah seperti penyalahgunaan media sosial, dan penggunaan berita palsu untuk memisahkan dan mengelirukan rakyat, kerajaan sebenarnya telah mengorak langkah positif menanganinya dari awal lagi. Namun, langkah yang lebih proaktif dan berkesan perlu diambil bagi mendepani cabaran-cabaran yang berbeza saban hari.

Sejak tahun lepas, Akademi Rakyat (AKADEMOS) telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri Perak dan lebih 16 siri program ini telah berjaya dilaksanakan membabitkan ratusan anak muda. Inisiatif ini adalah untuk mendekati belia dan mahasiswa untuk membina sahsiah diri serta memberi pengenalan kepada sistem demokrasi di Malaysia.

Setelah usul Undi 18 mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, terdapat keperluan lebih mendesak bagi kesedaran sivik dan ketatarakyatan untuk dibawa ke peringkat sekolah dengan menyasarkan murid berusia 15-21. Kami berpendapat ada perlunya modul pendidikan hubungan etnik ini dijadikan aktiviti sampingan pra-AKADEMOS dimulakan di peringkat sekolah.

Kita masih punya ruang waktu untuk mengembalikan keharmonian ini ke landasan yang sepatutnya. Permasalahan yang kita hadapi ini memerlukan kepada penyelesaian yang luar biasa. Benteng pemisah, seperti Titah Diraja tempoh hari perlu diruntuhkan dengan usaha bersama. – Roketkini.com