Berita

Terpulang pada Rayer sama ada mahu terus wakili tertuduh kes jual MyKad

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sebagai peguam berhak untuk mewakili sesiapa sahaja di mahkamah selaras dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan dengan itu, Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh berkata terpulang kepada Rayer sama ada beliau mahu meneruskan niatnya bagi mewakili tertuduh dalam kes penjualan kad pengenalan (MyKad) kepada warga asing. 

“Bentuk perwakilan seperti itu, sama ada oleh Rayer atau sesiapa sahaja, tidak seharusnya dijadikan isu politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Ramkarpal dalam pada itu turut menjawab kritikan terhadap Rayer menerusi kaca mata seorang peguam. 

Katanya, beliau bersetuju dengan pandangan Majlis Peguam bahawa seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa Rayer bertindak bertentangan dengan pendirian kerajaan. 

“Secara asasnya, peguam bertindak atas arahan klien dan Rayer mengambil arahan tersebut sebelum memutuskan untuk mewakili kliennya. 

“Jika arahan tersebut adalah kliennya tidak bersalah, bagaimana boleh dikatakan bahawa mempertahankannya bertentangan dengan pendirian kerajaan?” soalnya. – Roketkini.com