Berita

Hina mahkamah: Kenakan tindakan tegas terhadap Lokman, Zahid Hamidi

Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang membuat penghinaan terhadap mahkamah, kata Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng. 

Beliau menyebut beberapa nama antaranya Ahli Jawatankuasa Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam yang didakwa membuat penghinaan terhadap mahkamah apabila menuduh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencampuri urusan mahkamah.

“UMNO sebagai sebuah bekas parti pemerintah sepatutnya faham bahawa (mengikut doktrin pengasingan kuasa) cabang kehakiman di Malaysia kini adalah bebas sepenuhnya daripada cabang eksekutif kerajaan Pakatan Harapan. 

“Lokman Noor Adam justeru perlu menghormati badan kehakiman dan tidak membuat kenyataan yang berniat jahat terhadap badan kehakiman,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Lokman seperti dilapor media mendakwa Dr Mahathir masuk campur dalam keputusan mahkamah yang mengarahkan bekas perdana menteri, Najib Razak untuk membela diri dalam kes penyelewengan berjumlah RM42 juta membabitkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Selain Lokman, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi turut membuat penghinaan terhadap mahkamah apabila mempersoalkan keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Feb 2017 lalu.

Lip Eng dalam pada itu turut mempersoalkan agenda di sebalik tindakan kedua-dua pemimpin UMNO tersebut. 

“Adakah rancangan UMNO sebenarnya untuk memusnahkan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman dan menyebabkan negara kita menjadi kucar-kacir, dengan niat untuk melumpuhkan kerajaan Pakatan Harapan?

“Tindakan tegas harus diambil terhadap Lokman, Zahid dan mereka yang cuba untuk menjejaskan badan kehakiman,” ujarnya. – Roketkini.com