Berita

Post-mortem ‘terperinci, serius dan jujur’ kenal pasti punca kekalahan – Dr Mahathir

Pakatan Harapan (PH) akan mengenal pasti punca kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai menerusi post-mortem yang terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti. 

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kekalahan dengan majoriti lebih 15,000 undi itu adalah di luar jangkaan. 

“Saya terima keputusan yang dibuat oleh rakyat Tanjung Piai, walaupun sebelum ini sudah menjangkakan bahawa majoriti akan beralih arah ke pihak lawan. 

“Jangkaan saya majoriti kekalahan ini tidak lebih dari 2,000 undi,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan, hari ini.

Sabtu lepas, calon MCA, Wee Jeck Seng berjaya merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai yang dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu dalam pertandingan enam penjuru. 

Jeck memperolehi 25,466 undi, diikuti calon PH, Karmaine Sardini dengan 10,380 undi; calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam (1,707); calon Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850), serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32).

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung. – Roketkini.com