Berita

Kerajaan PH sedia RM30 kepada 15 juta rakyat Malaysia menerusi e-dompet Januari depan

15 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM100,000 setahun akan menerima rangsangan digital bernilai RM30 secara ‘one off’ bermula bulan hadapan. 

Inisiatif yang melibatkan peruntukan berjumlah RM450 juta itu menurut  Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bertujuan untuk menggalakkan budaya digital dan beralih kepada masyarakat tanpa tunai.  

“Inisiatif itu adalah sebahagian daripada RM50.3 bilion disediakan kerajaan bagi tempoh lima tahun untuk mentransformasikan negara sebagai sebuah negara keusahawanan, antaranya beralih kepada digital,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagi membolehkan pengguna layak menerima insentif berkenaan, mereka hanya perlu memastikan akaun e-dompet disahkan menerusi penyelia perkhidmatan terpilih. 

Tambah Guan Eng lagi, sistem dan perisian e-Tunai Rakyat bagi membolehkan pemberian RM30 kepada 15 juta rakyat Malaysia menerusi e-dompet dilakukan sedang giat diuji dan diperhalusi bagi membolehkannya dilaksanakan bulan hadapan. 

Penyelia pelan inisiatif berkenaan, Khazanah Nasional Berhad akan mengumumkan pengendali e-dompet yang terlibat dengan projek berkenaan.

Tambah Guan Eng, Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan peruntukan tambahan jika keseluruhan RM450 juta yang diperuntukan untuk tujuan itu dituntut sepenuh dalam tempoh Januari dan Februari depan. 

“Sambutan baik juga akan membolehkan inisiatif ini diulang dengan mensasarkan lebih ramai pengguna, pedagang dan pengendali e-wallet,” katanya. – Roketkini.com