Berita

‘Adakah Najib akan sumpah laknat untuk kes 1MDB?’

Bekas perdana menteri, Najib Razak semalam mengumumkan bahawa beliau akan melakukan sumpah laknat bagi menafikan dakwaan dalam akuan bersumpah (SD) yang mengaitkan dirinya dengan kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu. 

Bagaimanapun, hasrat Najib itu membangkitkan beberapa persoalan daripada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang. 

“Adakah sumpah laknat yang mahu dilakukan Najib itu bermakna bahawa beliau tidak bersetuju dengan kenyataan peguamnya, Mohamad Shafee Abdullah, bahawa dia (Najib) mahu polis menyiasat semula kes pembunuhan Altantunya atau dia (Najib) sememangnya tidak mahu pihak polis menyiasat semula kes pembunuhan berkenaan?” soalnya. 

Bekas anggota polis elit, Azilah Hadri dalam SD yang difailkannya pada Selasa lalu mendakwa telah diarahkan oleh Najib yang ketika itu menjawat jawatan timbalan perdana Mmenteri untuk membunuh Altantuya pada 2006.

Susulan itu, ramai pihak termasuk Shafee mahu kes pembunuhan tersebut disiasat semula. Najib pada awal tahun ini turut menyoal kenapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak membuka kes-kes pembunuhan berprofil tinggi yang dikaitkan dengannya. 

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, turut membangkitkan persoalan sama ada Najib akan membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan menerima sogokan daripada hasil terbitan bon 1MDB. 

Semalam, media melaporkan bahawa Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) menamakan Najib sebagai penerima wang sogokan daripada bon 1MDB yang diraih Goldman Sachs membabitkan bekas eksekutifnya, Tim Leissner. 

Kit Siang dalam pada itu turut menggesa supaya lebih ramai pihak tampil menggesa agar kes pembunuhan berprofil tinggi itu dibuka semula.

“Majlis Peguam Malaysia turut menggesa agar siasatan semula dijalankan berdasarkan SD Azila berkenaan. 

“Moga semua peguam Malaysia yang cintakan keadilan bersuara bagi menggesa agar satu siasatan semula terhadap kesemua proses siasatan, pendakwaan dan perbicaraan kes pembunuhan Altantuya,” ujarnya. – Roketkini