Berita

Pemimpin PAS keliru – Guan Eng

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan PAS sebagai keliru dengan peranannya sebagai parti pembangkang berhubung hasrat parti itu untuk menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang Dewan Rakyat bulan depan. 

Jelasnya, usul undi percaya kebiasaannya dilakukan oleh parti kerajaan dan bukannya parti pembangkang. 

“Kalau kita lihat gelagat PAS ini, mereka seperti keliru sama ada mereka pembangkang ataupun kerajaan kerana pembangkanglah yang selalunya akan buat undi tidak percaya,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Guan Eng turut menzahirkan rasa hairan dengan sikap PAS yang beria-ria mahu menyokong Dr Mahathir tetapi menolak usul yang dibawa perdana menteri itu untuk meminda Perlembagaan dalam perkara berkaitan memulihkan status Sabah dan Sarawak.

Mengulas perkara lain, beliau yang juga Menteri Kewangan turut membidas kerajaan Kelantan yang diterajui PAS berhubung perbelanjaan di luar kemampuan kewangan. 

Antaranya, pemberian bonus RM50,000 kepada Exco kerajaan negeri itu serta pembelian 14 kereta mewah, Mercedes Benz.

“Apa yang dibuat oleh kerajaan Kelantan sesuatu yang tak pernah berlaku tambahan pula mereka tidak mampu untuk membayar gaji warga perkhidmatan di negeri itu tetapi boleh pula beli kereta mewah dan beri bonus RM50,000 kepada ahli Exco.

“PAS keliru dengan apa yang mereka perlu buat dan apa yang tidak sepatutnya dilakukan,” ujarnya.

Sikap ini, katanya, berbeza dengan pemimpin kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan yang memutuskan untuk memotong gaji menteri sebanyak 10 peratus bagi membantu usaha memulihkan keadaan fiskal dan kewangan negara. – Roketkini.com