Berita, Rencana

Pembangkang tak suka kerajaan PH bantu orang susah?

Oleh Tony Pua

(Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Damansara)

Pelbagai spekulasi yang tidak berasas dan tohmahan tidak benar telah dikeluarkan oleh Pengerusi MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkaitan inisiatif Kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah (“B40”) dan golongan berpendapatan pertengahan (“M40”). 

Dr Wee membangkitkan kembali kes-kes yang berkaitan dengan masalah tuntutan lama yang telah dilaporkan oleh media tahun lalu. Hal-hal ini telah pun dijelaskan secara terperinci oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah mySalam pada 6 November 2019. Antaranya, tuntutan bermasalah pertama tidak mempunyai maklumat yang lengkap seperti pengesahan daripada doktor. Tuntutan bermasalah kedua pula telah ditolak kerana pemohon tersebut telah menerima tuntutan hospitalisasi maksimum setahun iaitu sebanyak RM700. 

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (“KKM”) telah mengeluarkan bukan satu, tetapi dua surat pekeliling kepada semua Pengarah Hospital, Pengarah Kesihatan Negeri dan Pengarah Institusi pada 14 Ogos 2019 dan 13 Januari 2020 agar caj bayaran laporan perubatan dikecualikan daripada pesakit yang membuat tuntutan Skim mySalam. Ini jelas membuktikan keikhlasan Kerajaan PH dalam usaha meringankan bebanan pesakit di mana tiada caj tambahan dikenakan ke atas pihak pesakit. 

Kalau beliau tidak tahu, biar saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan sekali lagi kepada Pengerusi MCA bahawa Skim mySalam ini tidak akan memberikan keuntungan kepada mana-mana pihak kecuali rakyat Malaysia. Semua premium yang dibayar Kerajaan, jika tidak digunakan sebagai tuntutan oleh penerima manfaat, akan dibayar balik kepada Tabung Amanah mySalam. Sekali lagi, hal ini telah pun dijelaskan secara berulang kali di Dewan Rakyat dan melalui kenyataan rasmi Kementerian Kewangan Malaysia (“MOF”) pada 6 Ogos 2019. 

Seperti mana-mana kebiasaan pelaksanaan inisiatif baru, proses penyebaran maklumat, aktiviti-aktiviti meningkatkan kesedaran untuk ianya menjadi tuntutan akan mengambil masa yang agak lama. Jumlah tuntutan sebanyak RM13.7 juta untuk tahun 2019 yang diumumkan dengan telusnya, tidak bermakna bahawa baki dana lesap disonglap seperti di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional. 

Sebaliknya, ia diperuntukkan untuk penerima-penerima skim mySalam untuk tahun- tahun yang akan datang. Kerajaan PH akan terus mempertingkatkan kerja-kerja penyebaran maklumat kepada orang ramai melalui usaha seperti penubuhan kiosk- kiosk mySalam di hospital-hospital kerajaan di setiap negeri untuk membantu rakyat dengan tuntutan-tuntutan Skim mySalam. 

Mungkin Dr Wee tidak faham mengenai matlamat Skim mySalam kerana skim kebajikan dan takaful yang membantu golongan berkeperluan yang mengidap penyakit kritikal atau kehilangan pendapatan kerana terpaksa dihospitalisasi, tidak pernah dilaksanakan oleh Kerajaan BN. 

Daripada sibuk membazir masa untuk menyebarkan tohmahan yang tidak berasas, adalah lebih baik sekiranya Dr Wee menggunakan laman sosial media beliau untuk membantu berkongsikan maklumat yang tepat dan sahih mengenai Skim mySalam yang disediakan secara percuma oleh Kerajaan Malaysia. Macam ini, lebih ramai lagi rakyat Malaysia dapat menikmati manfaat takaful mySalam. Kecuali, Dr Wee memang tidak inginkan manfaat ini kepada rakyat? 

Janganlah disebabkan keangkuhan tidak mahu mengiktiraf kebaikan yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan, sanggup mengeluarkan bermacam tohmahan yang bukan sahaja mengelirukan malah mengaburi mata rakyat yang memerlukan bantuan kesihatan daripada Kerajaan dengan mengeluarkan bermacam tohmahan palsu. – Roketkini.com

*Kenyataan Media oleh Tony Pua, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Damansara, pada Rabu 19hb Februari 2020 di Kuala Lumpur