Berita

Adun DAP salur peruntukan bantu pekerja barisan hadapan, perkhidmatan teras

Petugas barisan hadapan dan pekerja dalam sektor perkhidmatan teras adalah antara golongan yang banyak melakukan pergerakan ulang alik dari rumah ke tempat kerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Ramai antara mereka bekerja mengikut syif dengan masa yang tidak menentu dan bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dan tren untuk ke tempat kerja.  

Namun, mereka kini menghadapi kesukaran untuk ke tempat kerja selepas kerajaan mengarahkan supaya perkhidmatan pengangkutan awam memendekkan tempoh operasi.

Oleh itu, kebanyakan daripada mereka yang tidak memandu sendiri terpaksa mengambil alternatif lain dengan menggunakan perkhidmatan teksi atau e-hailing yang kosnya jauh lebih tinggi berbanding menaiki bas atau tren.

Prihatin terhadap masalah itu, Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran mengambil inisiatif menyalurkan peruntukan kawasannya bagi membantu golongan tersebut.

Menerusi inisiatif bantuan elaun pengangkutan, setiap petugas barisan hadapan sama ada pekerja hospital, anggota polis serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang merupakan penduduk DUN Bukit Gasing layak memohon RM100 daripada pusat khidmat Adun tersebut. 

“Ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau dalam pada itu, turut mengesa kerajaan pusat mengambil inisiatif yang serupa bagi membantu petugas barisan hadapan dan pekerja perkhidmatan teras di seluruh negara. 

“Oleh kerana kerajaan mengehadkan tempoh operasi pengangkutan awam bagi mengurangkan pergerakan orang ramai, mereka harus memikirkan cara bagaimana untuk membantu para doktor, jururawat, pegawai polis dan ramai lagi pekerja perkhidmatan perlu yang terjejas dengan keputusan tersebut,” ujarnya. 

Kerajaan memaklumkan bahawa pengangkutan awam di seluruh negara hanya akan dibenarkan beroperasi dari pukul 6.00 pagi ke 10.00 pagi dan 5.00 petang ke 10.00 malam sahaja setiap hari, berkuat kuasa 25 Mac sepanjang tempoh PKP.

Ini termasuk bas henti-henti, bas percuma seperti GoKL dan Smart Selangor, semua bas perantara, perkhidmatan rel Aliran Transit Ringan (LRT), monorel dan Transit Aliran Massa (MRT), Express Rail Link (ERL) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Bagaimanapun, perkhidmatan teksi dan e-hailing masih boleh meneruskan operasi seperti biasa, mengikut garis panduan yang telah ditetapkan sebelum ini. – Roketkini.com