Berita, Rencana

Warkah buat petugas barisan hadapan

Oleh Hannah Yeoh

(Ahli Parlimen Segambut)

Tidak kiralah anda seorang doktor, jururawat, atau kakitangan perubatan yang bekerja di hospital kerajaan dan klinik, surat cinta ini adalah untuk anda. Dalam situasi getir melawan wabak ini, anda adalah wira kami walaupun ‘cape’ tidak tergantung di leher.

Kami selamat di rumah, tetapi anda tidak. Kami selesa bekerja di rumah, tetapi anda bekerja sepanjang masa di hospital dan berjuang dengan virus yang telah meletakkan negara kita dalam situasi genting dan memusnahkan dunia. 

Walaupun anda tahu bahawa menyelamatkan nyawa orang lain bermakna mempertaruhkan nyawa sendiri, tetapi anda tidak mengalah. Anda sedar tugas ini meletakkan keluarga dan orang tersayang dalam risiko, namun anda tetap tekad dan memenuhi kewajipan anda.

Kepada semua doktor dan jururawat bersara yang telah menyahut panggilan kerajaan dengan sukarela dan turut sama berjuang, bagaimana mungkin kami lupa untuk menghargai pengorbanan kalian? Sikap berani dan tidak mementingkan diri ini mengingatkan mereka yang lain tentang nilai murni dan mulia dalam bidang perubatan.

Tidak dapat kami bayangkan betapa sukarnya untuk berpisah daripada keluarga dan harus mengekalkan jarak jauh dari mereka untuk mengurangkan kemungkinan jangkitan. Malah, anda juga tidak dapat memeluk mereka dan tidak dapat bersama-sama menghadapi situasi sukar ini.

Saya juga turut merasainya apabila disahkan mempunyai kontak rapat dan sementara menunggu keputusan ujian, saya menahan diri daripada memeluk anak-anak dan perasaan ketika itu amat menyakitkan. Namun, sekarang saya memperbanyak pelukan dan ciuman pada mereka, dalam masa-masa itu saya kerap memikirkan anda petugas barisan hadapan yang tidak dapat melakukan hal sama pada anak-anak anda.

Anda juga sama seperti kami, mempunyai teman dan keluarga. Anda mempunyai pasangan yang mencintai, anak-anak yang memerlukan dan ibu bapa yang bimbang akan anda. Apabila anda terdedah secara berterusan kepada pesakit Covid-19, ini menimbulkan kebimbangan insan yang menyayangi, kerana mereka pastinya tidak mahu kehilangan anda. Begitu juga dengan kami.

Dunia memerhati Malaysia dalam usaha meratakan lengkungannya. Perintah kawalan pergerakan (PKP) ini adalah harapan dan langkah baik bagi memudahkan urusan petugas barisan hadapan kita. Di samping itu, ramai menyuarakan kekaguman mereka dengan sikap profesional Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Pada September 2018, Pakatan Harapan membuat perubahan dalam pentadbiran perkhidmatan awam dengan menggantikan frasa “saya yang menurut perintah” dalam surat rasmi kerajaan dengan frasa “saya yang menjalankan amanah”. Perubahan ketara daripada norma itu dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas sesi libat urus (town hall) dengan pegawai pentadbiran dan diplomatik ketika kami mula peroleh kuasa.

Ketika saya melihat Dr Noor Hisham secara terbuka menolak tuntutan minum air suam dan tindakan tidak praktikal menteri melaksanakan sesi nyah-kuman di jalanan, ia memulihkan keyakinan saya dalam perkhidmatan awam. Melihat kegigihan pasukan barisan hadapan kita di Kementerian Kesihatan dalam tempoh PKP ini, saya berani mengatakan bahawa kita masih punya HARAPAN! – Roketkini.com