Berita

Isytihar harta: Tak perlu melatah, dolak-dalik

Pengikut Perikatan Nasional (PN) tidak perlu melatah dan berdolak-dalik apabila ada pihak yang mempersoalkan tentang janji jemaah menteri untuk mengisytiharkan harta selepas sebulan mentadbir Putrajaya.

Menurut Adun Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali soalan yang diajukan beliau berkenaan isu itu adalah mudah dan ada asas.

“Soalan saya mudah. Kabinet Perikatan Nasional (PN) sudah isytihar harta atau belum. Sudah atau belum? Tak perlu melatah. Tak perlu pusing ‘ke sana ke sini, ke sana ke sini’ bak kata Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, tegasnya, fokus untuk membantu rakyat yang memerlukan semasa musim wabak Covid-19 tidak mungkin terhenti hanya kerana beliau membangkitkan tentang isu tersebut.

“Adapun usaha melawan Covid-19 adalah tanggungjawab kita bersama baik kerajaan, pembangkang mahupun seluruh rakyat Malaysia di pelbagai lapangan. Insya-Allah tiada siapa akan terhilang fokus.

“Tidak perlulah kita mendabik dada seolah-olah hanya kita seorang sahaja yang sedang berbakti membantu mereka yang memerlukan diluar sana,” katanya dalam satu kenyataan.

Sheikh dalam kenyataan semalam, membangkitkan tentang janji Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada 11 Mac lalu untuk barisan Kabinet mengisytiharkan harta dalam tempoh sebulan. 

Ia bagaimanapun menimbulkan reaksi kurang senang daripada pengikut PN antaranya pelawak, Shahrol Shiro yang kononnya mendakwa Sheikh lebih mengutamakan soal berpolitik ketika negara berjuang mengekang penularan Covid-19.

Tambah Sheikh yang juga Ketua DAPSY Johor, amat malang sekali kerajaan PN gagal menjawab soalan semudah itu. 

“Berbalik kepada persoalan saya, adalah amat naif sekali jika kerajaan hari ini menjadi hilang fokus semata-mata kerana hendak menjawab persoalan ‘sudah’ atau ‘belum’ yang saya lontarkan.

“Sekarang sudah satu bulan berlalu. Jadi, soalan ini saya ajukan. Jika bertanya soalan semudah ini pun tidak mampu dijawab, malang sekali,” ujarnya. – Roketkini.com