Berita

‘Usaha bendung Covid-19 wajib dibincang di Parlimen’

Parlimen memainkan peranan yang penting dalam mengangkat suara rakyat selain menjadi ejen semak dan imbang kepada kerajaan di tengah-tengah krisis pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini. 

Oleh itu, sebarang usaha yang dilakukan kerajaan bagi membendung wabak itu wajib diberi penelitian khusus di Dewan Rakyat menerusi sesi perbahasan dan perbincangan.

Ini yang ditegaskan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) selepas Setiausaha Dewan Rakyat bertindak menetapkan tempoh persidangan kepada hanya satu hari pada 18 Mei ini. 

Tegas PH, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi membendung Covid-19 tidak wajar dijadikan alasan untuk mengehadkan tempoh persidangan.

Menurut gabungan itu, Parlimen boleh mengambil langkah penjarakan sosial selain memanfaatkan teknologi sedia ada dengan menjalankan persidangan dalam talian seperti mana yang telah dilaksanakan di negara-negara lain.

“Apabila dilihat Parlimen di United Kingdom, Kanada dan Singapura yang berjaya mengubah peraturan masing-masing untuk meneruskan sidang pada ketika wabak Covid-19 melanda, kami percaya usaha yang sama mampu dilakukan bagi Parlimen Malaysia.

“Sebagai contoh, jumlah Ahli Yang Berhormat yang hadir boleh dikurangkan ke satu jumlah yang munasabah untuk mengekalkan penjarakan sosial tanpa menjejaskan korum mahupun peratusan parti masing-masing. 

“Teknologi video dalam talian juga boleh diguna bagi Ahli-Ahli Yang Berhormat yang ingin mengambil bahagian di dalam perbahasan tanpa berada secara fizikal di dalam Dewan. Peraturan Mesyuarat perlu dipinda bagi tujuan di atas,” ujarnya. 

Sehubungan itu, PH mencadangkan agar persidangan Dewan Rakyat diadakan sekurang-kurangnya selama dua hari bagi membolehkan perbahasan dan perbicangan berkenaan krisis Covid-19 dijalankan secara mendalam. 

“Perubahan ini boleh dilaksana Ketua Majlis berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(2).

“Oleh yang demikian, Majlis Presiden akan menghantar wakil Pakatan Harapan untuk mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada kadar segera bagi membincangkan perkara-perkara di atas,” ujarnya. 

Selain itu, PH juga membantah tindakan Setiausaha Dewan Rakyat yang tidak membenarkan Ahli Parlimen membawa sebarang usul selain tidak mengadakan sesi pertanyaan jawab lisan dan waktu pertanyaan menteri pada persidangan minggu hadapan.

Menurut PH, keputusan tersebut melanggar kelaziman dan peraturan mesyuarat Parlimen. – Roketkini.com