Berita

DAP Perak sasar bantu lebih 100,000 rakyat memerlukan

Golongan B40 antara yang paling terkesan dari segi kewangan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa keempat esok.

Menyedari hal itu, DAP Perak menerusi misi prihatin rakyat mengambil inisiatif memberikan sumbangan kepada rakyat yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang politik.

Sejak hari pertama PKP dikuatkuasakan, menurut Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, seramai 75,000 rakyat yang memerlukan terdiri daripada golongan B40 telah dibantu oleh pusat khidmat negeri itu.

“DAP Perak sedang menuju ke sasaran membantu 100,000 orang fakir miskin. Semua sumbangan diberi tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

“Kami berdedikasi membina semangat bangsa Malaysia,” ujarnya.

Bantuan yang diserahkan kepada penerima adalah dalam bentuk bekalan makanan selain juadah berbuka puasa.

Pasukan DAP Perak turut memberikan sumbangan topeng muka kepada pasukan barisan hadapan yang berkhidmat demi negara. – Roketkini.