Berita

DAP kecam gangguan seksual terhadap dua Adun

DAP mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab melakukan gangguan seksual terhadap Adun Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dan Adun Kampung Tungku, Lim Yi Wei.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sebarang bentuk gangguan seksual adalah tindakan jenayah yang tidak harus dipandang remeh dan dibiarkan menjadi budaya dalam masyarakat. 

“Saya harap pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam hantaran di Facebook baru-baru ini. 

Jamaliah dan Yi Wei menerima ugutan bunuh dan rogol oleh pengguna Facebook, Najid Nabi baru-baru ini. Kedua-dua Adun DAP itu telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Sementara itu, DAP Wanita Selangor dalam satu kenyataan menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) agar segera menyiasat perkara itu. 

“DAP Wanita Selangor juga ingin mengingatkan KDN, KKMM dan KPWKM bahawa kegagalan untuk memandang serius semua insiden buli siber akan membawa kesan yang buruk bukan sahaja kepada mangsa terlibat tetapi juga terhadap ahli keluarga dan rakan terdekat mereka,” tegas Setiausaha Publisiti DAP Wanita Selangor, Michelle Ng.

Beliau turut menggesa pihak yang menjadi mangsa buli siber tanpa mengira jantina untuk tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Kita perlu ingat bahawa lelaki juga boleh dijadikan mangsa insiden sebegini. Jangan menderita dalam diam kerana ini hanya akan menjadikan pembuli lebih berani. Kita perlu bersuara untuk menuntut keadilan,” katanya. – Roketkini.com