Berita

Pemandu mabuk: Kerajaan PN digesa segera pinda akta sedia ada

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak serius dalam menangani isu pemandu mabuk di negara ini, kata pemimpin DAP dalam satu kenyataan bersama, hari ini. 

Ini berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang menunjukkan kesungguhan politik dalam menangani isu itu menerusi cadangan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mantan menteri pengangkutan Anthony Loke ketika itu mahu meminda akta itu bagi mengenakan hukuman keras ke atas pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol, termasuk tindakan menggantung lesen memandu seumur hidup.

Malah, kata kenyataan itu lagi, rang undang-undang (RUU) pindaan ke atas akta itu juga telah dijadualkan untuk dibentang pada sidang parlimen tahun ini.  

“Ini menunjukkan PH mempunyai kesungguhan politik untuk menangani isu ini.

“Malangnya, kami tidak melihat kesungguhan politik yang sama daripada kerajaan PN sekarang. 

“Isu pemandu mabuk, yang dahulunya menjadi isu besar pembangkang BN dan PAS, kini seperti tidak lagi menjadi prioriti apabila mereka menjadi kerajaan. 

“Mereka sekadar menyebarkan soal selidik Kementerian Pengangkutan yang dijalankan secara atas talian, dan mencadangkan supaya suatu Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan, walhal apa yang patut dilakukan adalah meminda undang-undang sedia ada,” kata kenyataan itu. 

Pemimpin DAP justeru menggesa supaya kerajaan PN mengadakan sidang parlimen agar RUU pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 dapat dibentangkan dan diluluskan dengan segera.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong; Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam); Alice Lau Kiong Yieng (Ahli Parlimen Lanang); Chan Foong Hin (Ahli Parlimen Kota Kinabalu); Wong Shu Qi (Ahli Parlimen Kluang); Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Ahli Parlimen Bandar Kuching); Phoong Jin Zhe (Adun Luyang); J Arul Kumar (Adun Nilai); Chiong Yoke Kong (Adun Tanah Rata); Edry Faizal (Adun Dusun Tua); Satees Muniandy (Adun Bagan Dalam); Sheikh Umar Bagharib Ali (Adun Paloh); Teh Swee Leong (Adun Kota Darul Aman); Lim Yi Wei (Adun Kg Tunku); Young Syefura Othman (Adun Ketari); Daniel Gooi Zi Sen (Adun Pengkalan Kota); Chris Lee Chun Kit (Adun Pulau Tikus); Kerk Chee Yee (Adun Ayer Keroh); Muhammad Shakir Ameer (Naib Ketua DAPSY Kebangsaan); dan Syahredzan Johan (Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri).

Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) terdapat dua kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk dilaporkan oleh media — satu melibatkan anggota polis pada awal bulan ini sementara satu lagi melibatkan orang awam di Kuantan, semalam. – Roketkini.com