Berita

Apa status permohonan mySalam untuk golongan M40

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong hari ini membangkitkan tentang status terkini pelaksanaan skim MySalam untuk golongan M40 yang sepatutnya telah dilaksanakan tahun ini. 

Dalam satu kenyataan katanya, pendaftaran inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu telah dibuka pada awal tahun ini dan ditutup pada 31 Mac lalu. 

“Akan tetapi, individu M40 yang telah mendaftar belum menerima sebarang maklumat lanjut walaupun sudah hampir tiga bulan pendaftaran tamat.

“Laman sesawang mySalam menyatakan bahawa inisiatif mySalam untuk M40 yang layak telah ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Adakah kerajaan yang baharu ini akan meneruskan skim mySalam atau menghentikannya?” soalnya yang juga Naib Pengerusi DAP Melaka.

Tegas Poay Tiong, kelewatan atau keengganan kerajaan untuk memperluaskan skim mySalam kepada kumpulan M40 akan menafikan hak mereka untuk mendapatkan bantuan jika jatuh sakit. 

Skim mySalam atau Skim Perlindungan Nasional B40 dilancarkan secara rasmi oleh kerajaan PH pada 24 Januari tahun lalu.

Sejak diperkenalkan, mySalam telah memberi manfaat dan perlindungan kepada 4.3 juta rakyat yang menghidapi 45 penyakit kritikal atau dimasukkan ke hospital. 

Mereka yang layak boleh menerima bayaran tunai sebanyak RM8,000 dan menuntut manfaat hospitalisasi sebanyak RM50 sehari. — Roketkini.com