Berita

Beri ruang kepada suara anak muda

Anak muda wajib diberikan ruang untuk membincang secara umum perkara-perkara yang berkisar kepentingan mereka.

Ini kerana masa depan belia adalah masa depan negara, tegas Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid.

Beliau berkata, kematangan dan kepetahan yang terserlah semasa perbahasan Parlimen Digital sebelum ini adalah cukup mengagumkan.

Menurutnya, semua harus berasa bangga dengan kebolehan anak muda kita.

“Penglibatan pihak polis dilihat meneruskan gaya pemerintahan yang lama di mana anak muda Malaysia yang ingin menyuarakan pandangan selalu disekat melalui pelbagai jenis cara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid

Sehubungan itu, Syerleena menyeru pihak polis supaya berpegang kepada profesionalisme dalam melaksanakan tugas.

Tambahnya, ahli-ahli Parlimen Digital hanya ingin menyertai perbahasan tentang perkara-perkara berhubung masa depan mereka.

Parlimen Digital yang pertama dianjurkan oleh tiga organisasi politik belia yang diketuai oleh Challenger Malaysia, Undi18 dan Liga Demokratik Malaysia.

Ia merupakan satu inisiatif yang menghimpunkan seramai 222 belia selama dua hari iaitu 4 hingga 5 Julai 2020 bagi mendebatkan, membincangkan dan meluluskan rang undang-undang atau dasar melalui satu platform khas.

Dilaporkan, beberapa wakil Parlimen Digital telah dihubungi polis.

Penegasan sama turut ditekankan Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei yang berkata, anak muda perlu diberi ruang bersuara dan menyumbang idea untuk membina negara.

“Kami berharap agar Ahli-ahli Parlimen Digital bebas berbahas tanpa sebarang tekanan dari pihak berkuasa.

“Kami juga mendesak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar menyokong usaha Parlimen Digital dan membawa idea dan hujah mereka ke peringkat tertinggi kerajaan,” katanya.

Menurutnya, adalah tidak wajar Ahli-ahli Parlimen Digital dipanggil oleh pihak berkuasa dan diminta menjelaskan penyertaan mereka.

Sementara itu, Bendahari DAPSY Pulau Pinang, Benji Ang memberitahu, golongan anak muda harus dipandang sebagai masa depan kepada negara dan bukanlah sebagai masalah.

Kata beliau, usaha pihak penganjur harus dihargai kerana menyediakan platform kepada anak muda bagi membincang dan menyatakan pendapat mereka terhadap isu semasa.

“Ini terutamanya tentang impak wabak COVID-19 terhadap ekonomi di Malaysia serta dasar-dasar yang perlu dilaksanakan.

“Selain itu, hak setiap rakyat Malaysia untuk bersuara juga jelas termaktub dan dilindungi di bawah Perlembagaan Persketuan. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 (1) (a), setiap warganegara mempunyai kebebasan bercakap dan bersuara dengan tidak menyentuk pada isu-isu sensitif.

Dengan ini, Benji berkata, DAPSY Pulau Pinang ingin menyeru KBS untuk memperjuangkan dan mempertahankan hak anak muda untuk bersuara. — Roketkini