Berita

‘Tiada tolak ansur terhadap ahli, wakil rakyat khianat perjuangan parti’

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Chong Chieng Jen menegaskan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana ahli atau wakil rakyat yang didapati mengkhianati perjuangan parti.

Ini termasuk menerima jawatan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan masih bersama-sama atau membantu wakil rakyat yang telah menyokong pihak lawan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengumumkan pemecatan Kong Lai Ling, Ng Sook Whye, dan Khi Poh Chong daripada keahlian DAP.

“Ketiga-tiga ahli di atas telah berlibat dalam ‘counter protest’ di Pusat Khidmat Paul Yong Choo Kiong terhadap bantahan lompat parti yang disertai oleh akar umbi DAP di Kawasan Tronoh.

“Kesemua mereka didapati aktif membantu Paul Yong Choo Kiong yang telah dipecat oleh jawatankuasa ini walaupun jawatankuasa ini telah memberikan amaran kepada ahli-ahli sebelum ini supaya tidak lagi bersama dengan ahli-ahli wakil rakyat yang telah lompat parti atau dipecat.

“Kong Lai Ling juga telah menerima jawatan sebagai Ahli Majlis Daerah Batu Gajah kerajaan PN,” ujarnya.

Keputusan itu, katanya, dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa disiplin hari ini selepas menerima aduan rentetan daripada insiden yang berlaku selepas kejatuhan Kerajaan Negeri Perak Pakatan Harapan pada Mac lalu.

Dalam pada itu, Chieng Jen berkata, jawatankuasa tersebut turut mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada sembilan ahli yang dikenalpasti hadir pada sidang akhbar pengumuman penyertaan A Sivasuramaniam ke dalam Gerakan pada 26 Jun lalu.

Mereka adalah Dan Adriel A/L Daniel Velloo, Angeline Phillip A/P Joe Phillip, Murugiah A/L Palany, Joseph Hendry A/L Kovil Pillai John, Amir Bin Abdullah, Marimutu A/L Ranggasamay, Theivanai A/P Selban dan William John A/L Johin Bin.

“Jawatankuasa Disiplin juga memutuskan untuk menggantungkan keahlian Loh Eng Soon selama satu tahun kerana beliau dengan sengaja melemparkan fitnah jahat dan memburuk-burukkan nama pimpinan negeri dalam akaun Facebook beliau.

“Tulisan beliau dalam Facebook beliau juga telah mencemarkan nama baik parti DAP,” ujarnya Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Stampin. — Roketkini.com