Berita, Rencana

Komitmen, semangat dan iltizam Ahmad Ton

DAP yang kini menyaksikan kemasukan dan penerimaan orang muda Melayu sehingga ramai daripada mereka memegang jawatan Adun dan Ahli Parlimen, merupakan hasil penat lelah perjuangan veteran dalam parti sejak sekian lama.

Tanpa jemu berhujah, golongan veteran ini terus berjuang membuka jalan untuk perubahan meskipun berdepan dengan pelbagai jenis dugaan termasuk disisihkan oleh masyarakat sekeliling.

Namun begitu, berbekal jati diri yang kukuh, semua dugaan itu berjaya ditempuhi mereka dengan ketabahan dan komitmen tinggi. Bak kata pepatah, adat periuk berkerak adat lesung berdedak, tiap usaha memerlukan ketabahan dan kerajinan.

Salah seorang daripada veteran ini ialah Allahyarham Ahmad Bin Ton atau dikenali Ahmad Ton.

Anak jati Johor ini pernah mencatat sejarah tersendiri apabila menubuhkan sebuah cawangan ‘Melayu DAP’ yang pertama di tempat kelahirannya iaitu Kampung Padang Sari, Batu Pahat pada 1976 dengan keahlian kira-kira 30 orang. Rumahnya sendiri dijadikan bilik gerakan.

Beliau pernah bertanding tujuh kali dalam pilihan raya umum serta memegang pelbagai jawatan di peringkat kebangsaan dan negeri termasuk Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dan Pengerusi DAP Johor.

Kepimpinannya dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP 1989 digandingkan dengan ramai tokoh parti seperti Lim Kit Siang, Ahmad Nor, Fadzlan Yahya, P. Patto, Peter Paul Dason, Hu Se Pang, Chen Man Hin dan dan ramai lagi.

Dalam satu wawancara, Ahmad pernah ditanya kenapa memilih DAP sedangkan ada parti pembangkang yang lebih ramai orang Melayu seperti PAS? Jawabnya mudah: “Kerana DAP orang perjuangan.”

Pelbagai dugaan telah dilalui Ahmad dalam 40 tahun penglibatan aktifnya dalam DAP. Penglibatan langsung beliau bersama DAP yang sentiasa diserang propaganda Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) sebagai ‘parti cavinis Cina’, ‘anti-Melayu’ dan ‘anti-Islam’ telah membawa rasa dukacita.

Ahmad Ton (tengah) bersama-sama Veteran DAP, Lim Kit Siang (kiri) dan Penasihat Seumur Hidup DAP, Dr Chen Man Hin.

Sepertimana diceritakan oleh isteri pertama Ahmad, Misbah binti Hussein, keluarganya merasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku selepas suaminya menyertai DAP. Pada tahun itu, rombongan marhaban selepas sembahyang Hari Raya Aidilfitri tidak singgah ke rumah mereka seperti tahun-tahun sebelumnya.

Begitu juga dengan kedai runcit yang diusahakan keluarga, tidak dikunjungi orang kampung. Keadaan itu berlaku sepanjang lima tahun seterusnya.

Penglibatan bersama DAP merupakan cabaran besar kepada Ahmad untuk mengemudi parti di Johor. Dengan fitnah dan stigma 13 Mei 1969 yang masih kuat ketika itu, beliau meneruskan usaha untuk mengembangkan DAP di seluruh Johor.

Tekad ini adalah kerana yakin bahawa perjuangan DAP yang mengangkat tema keadilan, kesaksamaan dan kebebasan merupakan inspirasi sebenar yang perlu dihayati seluruh rakyat Malaysia.

Sehingga kini, kesinambungan iltizam yang telah dibulatkan oleh Ahmad serta tokoh DAP lain suatu ketika dahulu terus wujud dalam parti. Ia memberi inspirasi yang besar kepada kepada penerus legasi hari ini untuk terus menggenggam perjuangan demi rakyat.

Ahmad meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat pada 29 September tahun lalu selepas sembilan hari rawatan akibat penyakit kencing manis. — Roketkini.com