Berita, Rencana

DAP junjung Perlembagaan Persekutuan

Sejak sekian lama, DAP telah menjadi mangsa momokan pihak tertentu yang tidak sudah-sudah melemparkan tohmahan yang tidak berasas terhadapnya.

Pelbagai tuduhan palsu dilemparkan pihak tersebut dalam usaha untuk mewujudkan persepsi buruk terhadap parti ini.

Sedangkan DAP yang merupakan parti pelbagai kaum yang berideologi sosial demokrasi, mahu membawa rakyat bersama negara ke arah keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran bersama tanpa mengira kaum, agama, gender dan wilayah.

Sebagai parti politik yang sah di negara ini, DAP sentiasa berpegang kepada prinsip perjuangan demokrasi, keadilan, kedaulatan undang-undang, peluang saksama, keadilan sosial, hak asasi, pentadbiran baik dan kebebasan.

Parti ini menentang rasuah, korupsi, perkauman, salah guna kuasa, kezaliman dan sekatan hak asasi manusia.

Semua prinsip ini terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan yang dicapai oleh pejuang kemerdekaan 1957 dan 1963, yang menjadi pegangan setiap warganegara Malaysia.

Dasar-dasar DAP seiring sejalan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ia antara lain menegaskan matlamat untuk:

  • Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan Perkara 153;
  • Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan;
  • Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum;
  • Memansuhkan atau meminda semua akta dan undang-undang yang zalim serta melanggar hak asasi; dan
  • Menjamin semangat persekutuan serta hubungan yang adil antara Persekutuan dan negeri-negeri, termasuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak di bawah perjanjian Malaysia 1963. — Roketkini.com